BERSATU PERTAHAN KEDAULATAN NEGARA ADALAH WAJIB, BERSATU SINGKIRKAN NAJIB JUGA WAJIB






Berdepan krisis diplomatik dengan Korea Utara berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, rakyat Malaysia ketika ini diseru agar bersatu hati bersama kerajaan tanpa mengira ideologi politik bagi memastikan segala-galanya berakhir dengan baik.

Yang lebih diutamakan tentunya ialah agar 9 rakyat Malaysia yang masih berada di Pyongyang dapat diselamatkan dan dibawa balik dengan seberapa segera, juga dalam keadaan selamat pastinya.

Lagi lama krisis ini berpanjangan, lagi ia membimbangkan, apatah lagi dengan adanya laporan berita yang mengatakan makanan halal untuk keperluan mereka hanya mampu bertahan untuk tempoh seminggu saja lagi dan mereka juga dinasihatkan tidak keluar ke mana-mana, melainkan kekal berada di dalam kawasan kedutaan atas faktor bahaya yang tak dijangka mungkin akan menimpa.

Secara umumnya, rakyat tidaklah begitu daif tentang keperluan bersatu dalam hal ini. Mereka tahu kerajaan yang sedang memerintah adalah BN dan Perdana Menteri ialah Najib Razak. Oleh itu, demi keselamatan 9 rakyat Malaysia yang sedang berada di Korea Utara itu, sokongan dan dokongan mereka kepada kerajaan ialah agar krisis diplomatik ini segera berakhir dan mereka yang bagai tebusan di Pyongyang ketika ini dapat dibawa pulang dengan selamat.

Sebab itu, nampak sedikit janggal apabila Najib sendiri membuat rayuan agar seluruh rakyat bersatu dan memberi sokongan kepada kerajaan yang sedang dipimpinnya dalam menangani krisis dengan Korea Utara itu.

Najib tidak perlu membuat rayuan secara terbuka kerana tindakan demikian lebih menampakkan beliau ingin mengaut sokongan politik untuk kepentingannya dan masa depan UMNO serta BN semata-mata. Lebih-lebih lagi tarikh pilihanraya mungkin diadakan pada bila-bila masa dan Najib sendiri sedang bergelut untuk memenanginya.

Sepatutnya biarlah pihak lain yang berkecuali yang membuat rayuan sedemikian, manakala Najib dan kerajaan dalam masa yang sama hanya perlu memperlihatkan tindakan atau langkah-langkah konkrit sedang diambilnya untuk menyelesaikan krisis tersebut.

Selagi Najib memperlihatkan usaha ke arah menamatkan krisis dan membawa pulang 9 rakyatnya Malaysia itu, seluruh rakyat memang memberi sokongan kepada kerajaan, walaupun tanpa beliau membuat rayuan secara terbuka mengenainya.

Dalam apa juga keadaan, apabila bertembung dengan negara lain, rakyat secara semulajadinya akan memihak kepada negara sendiri. Itulah namanya sayangkan negara dan mengutamakan kedaulatan negara.

Dalam konteks menamatkan krisis dengan Korea Utara, keperluan untuk rakyat bersatu memberi sokongan kepada kerajaan adalah suatu kewajipan sebenarnya. Sokongan itu lebih kerana BN adalah kerajaan yang sah sedang berkuasa dan menguruskan pentadbiran negara.

Tetapi, sokongan itu bukanlah mengenai masa depan UMNO dan BN atau perhitungan kalah menang dalam pilihanraya, sebaliknya kerana ada 9 nyawa yang perlu diselamatkan, selain untuk mempertahankan maruah serta nama baik negara.

Apa yang penting, krisis diplomatik ini tidak seharusnya membuat kita lupa akan dosa-dosa Najib, UMNO dan BN selama ini. Dosa itu bukan saja berkaitan skandal 1MDB, wang RM2,600 juta, pembaziran, kemewahan dan sebagainya tetapi dalam waktu yang sama menekan kehidupan rakyat melalui penarikan pelbagai subsidi dan mengenakan cukai GST.

Rakyat tidak harus lupa semua dosa-dosa itu. Lebih-lebih lagi Najib kini sedang mempertaruhkan masa depan negara untuk menutup semua salahlakunya selama ini. Najib ingin menang PRU 14 bukan sangat untuk membawa lebih kebaikan kepada negara dan kesejahteraan kepada rakyat, tetapi agar dosa-dosanya dapat dikambus dan tidak diungkit lagi sampai bila-bila.

Tun Mahathir sudah mencecah usia 92 tahun dan PRU 14 mungkin pertarungan terakhir baginya untuk menyelamatkan negara ini. Sebab itu, perhitungan PRU 14 ini amat penting supaya kita tidak terus terjebak kepada masalah dan keperitan hidup yang lebih kronik dan agar selepas ini tidak muncul dua atau tiga lagi 1MDB atau lebih ramai watak seperti Jho Low dan Peter Sondakh menghakis kekayaaan negara.

Menyokong dan bersama-sama dengan perjuangan Tun Mahathir, Pakatan Harapan dan lain-lain pihak yang ingin menyingkirkan Najib, UMNO dan BN adalah kerana mereka merupakan kumpulan paling berwibawa untuk memulihkan masa depan negara ini.

Jika kita berbangga dengan pelbagai kejayaan dan kemampuan Tun Mahathir membawa kecemerlangan selama 22 tahun era berkuasanya selamanya ini, tiada sebab kita tidak boleh meyakini dengan janjinya bahawa beliau mempunyai beberapa pendekatan atau solusi untuk kebaikan negara dengan syarat Najib, UMNO dan BN perlu ditumbangkan terlebih dahulu.

Sebagaimana kita wajib bersatu mempertahankan kedaulatan negara dalam krisis diplomatik dengan Korea Utara, kita juga ada kewajiban lain selepas itu iaitu untuk menjadikan negara ini lebih baik buat semua rakyatnya.

Negara ini akan selamat jika kita dapat bersatu menyingkirkan Najib kerana dalam dirinya didapati bersarang terlalu banyak masalah dan penyakit yang terlalu sukar untuk diubati.  

Hanya kerajaan baru mampu menyelamatkan kita, bukan kerajaan lama pimpinan Najib yang sudah uzur, tiada upaya, dipenuhi panau, sopak, kanser dan macam-macam penyakit  yang lain lagi. (ShahbudinHusin 11/03/2017).

No comments: