AMBOI...DAH ADA KAWAN BAHARU, SAMPAI TAK KISAH HILANG KAWAN LAMA!!



Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan memutuskan untuk membentangkan sendiri pindaan Akta 355 pada sidang Parlimen kali ini.

Kata beliau, perkembangan itu memperlihatkan kerjasama kerajaan BN dengan 'rakan baharu' yang pernah menjadi musuh politik untuk sama-sama memelihara kesucian agama Islam dan kedaulatan bangsa Melayu tanpa menjejaskan kepentingan agama serta bangsa lain.

"Insya Allah dengan doa untuk kita menyatukan orang-orang Melayu, biarlah  kita kehilangan segelintir 'kawan' kita tapi kita akan dapat 'kawan baharu' yang kumpulannya lebih besar akan bersama-sama kita.

"'Kawan baharu' kita ini mungkin dulu musuh politik kita tapi mereka telah faham untuk sama-sama tangani masalah bersama (berkaitan agama Islam) dengan tidak mengenepikan agama lain," ujarnya lagi.

Amboi...UMNO dan BN sampai dah tak kisah hilang kawan lama semata-mata kerana sudah ada 'kawan baharu' yang mahu bersamanya.
Dengan Zahid membuat perakuan bahawa 'kawan baharu' itu lebih besar kumpulannya, sudah  tentu hubungan itu akan dimanfaatkan tidak sekadar untuk Akta 355 saja, bahkan juga untuk perhitungan mengekalkan kuasa dalam pilihanraya.

Dalam hal ini, tidaklah sukar sebenarnya untuk mengenalpasti siapa 'kawan baharu' yang dimaksudkan Zahid Hamidi itu. 

Ia tentunya tidak lain ialah Pas yang sebelum ini diberi laluan membentangkan usul persendirian berkaitan pindaan Akta 355, meskipun mengikut amalan biasa, sebarang pindaan berkaitan apa juga rang undang-undang akan dibawa sendiri oleh wakil kerajaan yang sedang memerintah.

Secara tidak langsung Zahid mengesahkan Pas kini adalah 'rakan baharu'  bagi UMNO dan BN.

Umpama kata pepatah, "sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi," UMNO dan kerajaan kini seperti tidak kisah lagi dengan kehilangan kawan lama yang tidak setuju dengan pindaan Akta 355 itu.

Ini kerana seperti yang yang disebut Zahid, "biarlah kita kehilangan segelintir kawan kita, tetapi kita akan dapat 'kawan baharu' yang kumpulannya lebih besar akan bersama-sama kita."

Sekali lagi, tidaklah juga sukar menelah siapa kawan lama yang bakal ditinggalkan itu. Ia tentunya antara lain ialah MCA, MIC, Gerakan dan komponen dari Sarawak yang terang-terang menentang Akta 355 kerana beranggapan ia laluan awal kepada perlaksanaan hudud, selain bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Benarkah UMNO dan BN sanggup kehilangan kawan lama yang sudah sekian lama bersama mereka demi menatang 'kawan baharu' yang dianggap lebih besar lagi kumpulannya?

Benarkan Pas lebih besar dan lebih bernilai kepada UMNO dan BN berbanding gabungan MCA, MIC, Gerakan serta komponennya di Sarawak?

Apakah ini membuktikan UMNO dan BN benar-benar mahu menghadapi PRU 14 akan datang dengan semata-mata bergantung kepada pertolongan  daripada Pas saja?

Bagaimana Pas mahu mengelak lagi daripada dikaitkan ada hubungan dengan UMNO dan BN? (ShahbudinHusin 18/03/2017).

No comments: