Monday, February 27, 2017

ZAHID HAMIDI BIMBANG KALAH DI BAGAN DATOH














MUSTAHIL ZAHID BOLEH KALAH DI BAGAN DATUK, KECUALI....




Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi nampaknya benar-benar bimbang dengan kedudukannya di Bagan Datuk dalam pilihanraya umum akan datang ini.

Dengan hanya menang sejumlah majoriti 2018 undi pada PRU 13 lalu dan baru-baru ini pula Zahid mendedahkan wujud gerakan mahu mengalahkannya sebagai Ahli Parlimen dalam PRU 14, beliau  kini seperti sudah terasa bahang kekalahan makin dekat menghampirinya.

Kata Zahid, apa yang dikhuatirinya ialah pengaruh pengundi-pengundi yang mendaftar di Parlimen Bagan Datuk tetapi tinggal di luar dan kemudian mempengaruhi ibu bapa mereka untuk tidak mengundi BN.

"Saya yakin, nelayan-nelayan di Parlimen Bagan Datuk yang hadir hari ini (semalam) akan mengundi BN tetapi saya kurang yakin dengan anak-anak kita, saudara-saudara kita, yang duduk di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Singapura dan bandar lain.

"Mereka mendaftar sebagai pengundi Parlimen ini, bila balik ke kampung untuk mengundi, pengaruh ibu bapa mereka sehingga ibu bapa mereka mula goyang-goyang," katanya  lagi.
Setakat ini sudah dua kali Zahid meluahkan kebimbangan mengenai kedudukannya di Bagan Datuk. Kali pertama, beliau mengatakan wujud gerakan yang ingin mengalahkannya sebagai Ahli Parlimen dan kini, Zahid secara terbuka menzahirkan kerisauannya mengenai pengundi luar pula.

Zahid kemudian seperti merayu dengan berkata, "Jangan kata Zahid tipu kerana Zahid akan bantu rakyat Bagan Datuk. Jangan mahu Zahid yang baru, ini Zahid sudah ada di sini.

"Kalau mahu Zahid tolong Bagan Datuk, semua mesti sokong Zahid."

Ikut hukum akal, dengan kedudukan sebagai Timbalan Perdana Menteri, terlalu sukar, bahkan hampir mustahil,  untuk beliau dikalahkan di kawasan Parlimen yang sudah diwakilinya sejak sekian lama.

Melalui jawatan nombor dua dalam kerajaan, peruntukan pembangunan tanpa had dan limpahan jentera pilihanraya tentu saja memberi kelebihan terbaik untuk beliau mengekalkan kemenangan.

Malahan, belum pernah lagi ada mana-mana Timbalan Perdana Menteri yang kalah sebagai Ahli Parlimen sebelum-sebelum ini.

Mengapa Zahid terlihat begitu bimbang akan kedudukannya di Bagan Datuk?

Adakah kekalahan sudah dapat dirasai dan makin menghampirinya?

Benarkah kemungkinan kalah itu kerana pengundi luar atau ada faktor lain?

Mengapa pengundi luar Bagan Datuk yang tinggal di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Singapura dan bandar-bandar lain begitu dibimbangi oleh Zahid dan lebih mungkin tidak menyokong serta mempengaruhi ibu-bapa mereka agar tidak mengundinya?

Adakah Zahid bukan pemimpin yang baik bagi mereka?

Kalau pun pengundi-pengundi luar itu mempengaruhi ibu-bapa mereka, apakah ibu-bapa tersebut begitu mudah untuk terpengaruh dan menolak Zahid?

Apakah  isu yang benar-benar membuatkan mereka boleh tidak memberi sokongan kepada Zahid?

Adakah mereka menolak Zahid kerana isu-isu nasional atau sebab-ssbab yang lain?

Ataukah Zahid kini sedar ada pihak-pihak tertentu sedang mempengaruhi, meracuni dan mengawal pengundi-pengundi luar Bagan Datuk itu untuk melihat beliau benar-benar kalah dalam PRU 14 nanti? 

Sebagaimana disebut di awal tadi, sebagai Timbalan Perdana Menteri, terlalu sukar, bahkan hampir mustahil, Zahid dapat dikalahkan di kawasannya sendiri.

Beliau hanya mungkin dapat dikalahkan kiranya ada pihak lain dalam UMNO sendiri yang benar-benar mahu melihatnya kalah dan tidak lagi menjadi Ahli Parlimen selepas PRU 14 nanti.

Adakah perkara itu mustahil? (SH 26/02/2017).









Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers