Sunday, February 26, 2017

PAS "MENIPU" ORANG KAMPUNG ATAU "MENIPU" DIRI SENDIRI?



Kebelakangan ini Pas seolah-olah ada dua wajah dan  juga dua jalur perjuangan.

Pertama, di kampung-kampung dan kawasan pedalaman, Pas tetap mengatakan musuh sebenar mereka adalah UMNO dan Pas mampu menjadi pengganti UMNO.

Sebab itu, di kalangan pengikut bawahan, terutama mereka yang sudah disebatikan dengan keyakinan agar jangan membaca Utusan atau menonton TV3, sentimen anti UMNO dan BN masih masih lagi kelihatan menebal dan sama seperti dahulu.

Dalam masa yang sama, selain bertegas untuk terus mempertahankan Kelantan dengan cuba mengadu-domba kononnya ada pakatan sulit antara Amanah dengan UMNO, Pas juga mengimpikan untuk menawan kembali Terengganu dan Kedah.
Kedua, dalam masa yang sama terlihat seakan ada keghairahan yang tak mampu ditahan-tahan lagi untuk Pas terus meletakkan Najib Razak dan UMNO kekal berkuasa di negara ini.

Ia bukan saja tergambar melalui hubungan baik dan mesra pemimpin Pas dengan pemimpin UMNO, bahkan juga melalui kenyataan-kenyataan  seperti Pas tidak mahu berebut kuasa, Pas hanya ingin jadi penasihat saja dan bukan matlamat Pas untuk menjatuhkan UMNO, sebaliknya untuk memperkukuh ummah semata-mata.

Jika dicari dalam youtube pula, dulu Hadi Awang pernah berkata, kalau UMNO jatuh sekalipun tidak mungkin DAP yang berkuasa kerana jumlah kerusi minima yang parti itu miliki, tetapi kini ditakut-takutkan bahawa jika UMNO jatuh, kuasa Melayu akan turut jatuh dan DAP yang akan mengambil-alihnya.

Nada Pas mengenai DAP sekarang sudah saling tak tumpah macam yang selalu digembar-gemburkan oleh pemimpin UMNO kepada orang-orang Melayu.

Di antara dua wajah dan dua jalur itu, yang mana satu sebenarnya menjadi  perjuangan sebenar Pas?

Kenapa Pas sekarang perlu ada dua wajah serta dua jalur dan tidak dengan  satu wajah serta satu jalur perjuangan saja sepertimana sebelum-sebelum ini?

Mengapa sementara mahu menjatuhkan UMNO dan menjadi pengganti UMNO, kenyataan-kenyataan lunak seperti tidak mahu berebut kuasa, ingin menjadi penasihat saja dan bukan matlamat Pas mengalah UMNO, masih kedengaran?

Apakah terlalu sukar untuk Pas berterus-terang mengenai satu hasrat perjuangan dan satu matlamatnya dalam PRU 14 akan datang ini - mengalahkan UMNO atau mahu membantu UMNO?

Adakah Pas sedang menipu pengikut-pengikutnya atau mereka menipu diri sendiri atas nama perjuangan Islam yang dilaung-laungkan? (SH 26/02/2017).
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers