RUU 355 pakej dengan ‘gencatan senjata’ Pas-Umno


Hadi akan duduk sepentas dengan Najib sekali lagi Ahad ini.Hadi akan duduk sepentas dengan Najib sekali lagi Ahad ini.
Isu Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355 yang dibawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebenarnya dilihat sebagai berpakej dengan 'gencatan senjata' antara parti itu dan Umno, kata Ketua Pemuda Amanah Negeri Terengganu, Hasbie Muda.
“Ramai yang melihat isu RUU 355 hanya pada hal ehwal RUU itu semata-mata. Ramai yang lupa bahawa RUU 355 datang bersekali dengan 'gencatan senjata' antara Pas dan Umno sebagaimana yang pernah diumumkan Naib Presiden Pas, Ustaz Nik Amar. Ia berpakej,” tegasnya.
Menurutnya, gambaran situasi gencatan senjata itu dapat dilihat pada sikap dan pendirian Pas mutakhir ini walaupun banyak kepincangan menyelubungi Presiden Umno dan rejim parti tersebut.
“Bahasa mudahnya, ‘Jika puak kamu (Pas) mahu kami (Umno) bagi laluan pindaan RUU 355, jangan serang kami dengan bersungguh-sungguh. Serang olok-olok cukuplah.’
“Sebab itu walaupun Najib dan Umno dibelenggu pelbagai isu dan skandal yang sangat jelas terang lagi bersuluh, reaksi Pas seolah-olah tidak nampak semua itu,” ujarnya dipetik daripada status Facebook beliau.
Menurut Hasbie, sikap Pas yang tidak ‘menyerang’ Umno seolah-olah ahli Pas terkecuali daripada dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST), kenaikan harga minyak petrol dan minyak masak serta permasalahan ekonomi yang datang serentak antara inflasi dan deflasi.
“Seolah-olah ahli Pas semuanya hidup bahagia senang-lenang di bawah pemerintahan Najib. Umno bijak menggunakan kesempatan ini. Umno tahu bahawa jika pindaan RUU 355 gagal diluluskan, maka Pas akan kembali menyerang Umno sebagaimana sebelum 2013 dahulu,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau berpendapat pelbagai alasan dicipta sehingga menyebabkan perbentangan bagi pindaan Akta 355 itu ditangguh dan terus ditangguh.

No comments: