Projek ladang hutan yang gagal diurus kerajaan yang gagal, tegas Fuziah Salleh


Fuziah Salleh bimbang penerokaan hutan berleluasa mendedahkan rakyat pada risiko hakisan tanah.Fuziah Salleh bimbang penerokaan hutan berleluasa mendedahkan rakyat pada risiko hakisan tanah.
Ladang Hutan Kemasul di sempadan daerah Bentong dan Temerloh adalah satu contoh klasik projek ladang hutan yang gagal diurus tadbir oleh kerajaan yang gagal, tegas wakil rakyat PKR, Fuziah Salleh.
Menurutnya, seluas 1,0776 hektar Hutan Simpan Kekal (HSK) Kemasul dan HSK Kemasul (Tambahan) masih belum dibaikpulih.
“Walaupun undang-undang negara mengizinkan pertukaran status HSK kepada hutan ladang, akan tetapi ianya boleh gagal disebabkan oleh kelemahan pentadbiran,” ujarnya.
Beliau berkata, Laporan Ketua Audit Negara 2012 bagi negeri Pahang menyatakan hanya 52 peratus daripada keseluruhan HSK Kemasul yang diterokai telah berjaya di tanam semula dan projek tersebut gagal mendapat pulangan modal yang dilaburkan.
“Laporan audit setebal 12 muka surat itu juga menunjukkan projek Ladang Hutan Kemasul ini bermula seawal 1974 melibatkan 39,000 hektar.
“Pada mulanya ianya bertujuan menanam pokok pain di bawah kerajaan negeri untuk kilang kertas yang terbukti tidak menjadi kemudian dibiaya oleh Kerajaan Pusat bermula pada tahun 1984.
“Seterusnya diswastakan pula dalam projek penswastaan Ladang Hutan 1994 hingga 2013. Dengan sebanyak 10 syarikat dilantik dan terlibat untuk menebang habis dan menanam semula,” ujar Ahli Parlimen Kuantan itu.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri tidak dapat mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat yang gagal menanam semula kerana terdapat perjanjian yang tidak lengkap termasuk tidak ditandatangani.
“Akhirnya, kita lihat rakyatlah yang menerima kesan daripada hakisan tanah yang gagal ditanam semula dengan ladang hutan. Kualiti air sungai merosot dan kualiti air minuman terjejas,” katanya lagi.
Untuk rekod, HSK Kemasul sebelum ini diisytihar sebagai koridor hutan asli bagi laluan hidupan liar yang menghubungkan Kemasul dengan Hutan Rizab Hidupan Liar Krau.
Dalam perkembangan berkaitan, Fuziah turut mendedahkan sejumlah 502 hektar HSK Bukit Tinggi telah diceroboh dengan aktiviti perlombongan haram mengikut sumber daripada pemberi maklumat.
“Ini satu berita yang amat merisaukan kita semua memandangkan perlombongan haram akan melibatkan aktiviti-aktiviti yang tidak terkawal. Penggunaan sianida (cyanide) dalam proses perlombongan emas, contohnya mungkin berlaku.
“Perlombongan haram yang dilakukan juga dekat dengan penempatan awam atau sekolah,” tambahnya lagi.

No comments: