Friday, October 28, 2016

Pandikar bukan hakim, mantan menteri tak langgar sumpah kerahsiaan – Kit Siang


kit siang
KUALA LUMPUR, 28 OKT: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menegaskan bahawa tindakan tiga mantan menteri kabinet yang membangkitkan kebimbangan mereka mengenai isu skandal 1MDB di Parlimen baru-baru ini tidak melanggar mana-mana sumpah kerahsiaan.
Menurutnya, pandangan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mendakwa mereka melanggar sumpah kerahsiaan hanyalah bersifat peribadi.
“Pandikar perlu tahu bahawa meskipun beliau memegang jawatan tertinggi daripada dalam pejabat speaker, beliau sebaliknya bukanlah seorang hakim yang berkuasa dalam mahkamah undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; mantan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal; dan mantan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Hadzlah dirujuk sebagai individu yang didakwa melakukan kesalahan itu.
Pandikar dalam sidang medianya semalam berkata, kritikan lantang tiga mantan pemimpin dan pemimpin Barisan Nasional itu akan mendedahkan mereka kepada risiko berdepan tindakan undang-undang mengikut Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Apabila melanggar sumpah kerahsiaan, bermakna (mereka) tidak beretika dan berintegriti,” katanya.
Sebaliknya, menurut Kit Siang yang juga merupakan Ahli Parlimen Gelang Patah, Pandikar adalah pihak yang patut dilihat sebagai tidak mempunyai integriti kerana gagal memahami kepentingan doktrin pengasingan kuasa antara kuasa eksekutif dan kuasa perundangan.
Kenyataan Pandikar itu juga, menurut Kit Siang, menimbulkan persoalan sama ada Speaker mencadangkan agar Peguam Negara dan Ketua Polis Negara untuk mengambil tindakan terhadap trio berkenaan.
“Entah di mana di dunia ini ada Speaker Parlimen yang mencadangkan kepada eksekutif untuk mengenakan tindakan terhadap anggota Parlimen yang merupakan bekas menteri kabinet ekoran ucapan mereka di Parlimen?” soalnya.
Jelasnya juga, tiga mantan menteri itu dilindungi dengan hak keistimewaan untuk bercakap mengenai apa pun perkara di Parlimen, selain perkara-perkara yang melanggar isu sensitif mengikut Akta Hasutan.
“Daripada melindungi anggota Parlimen daripada sebarang pencabulan dari kuasa eksekutif, beliau sebaliknya seolah-olah menyebelahi eksekutif berbanding anggota Parlimen sehingga  mencadangkan supaya eksekutif mengenakan tindakan terhadap mereka,” katanya. – Roketkini.com
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers