Tuesday, June 7, 2016

UGUTAN NAMPAKNYA SUDAH BERMULA



Menteri  di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, pengundi di Sungai Besar perlu memilih calon BN dalam pilihanraya kecil 18 Jun ini sekiranya mahu mendapatkan bantuan segera daripada kerajaan Pusat.

Sebaliknya, kata beliau, sekiranya wakil pembangkang yang menang, ia menyebabkan bantuan yang seharusnya sampai ke Sungai Besar akan lambat tiba.

Kalau Budiman tidak dipilih nanti, kadang-kadang bantuan agak lambat sampai kerana bukan sesama parti dalam kerajaan. Biasanya kalau sesama parti dalam kerajaan, ia lebih mudah dalam membantu dan memberi perkhidmatan kepada orangramai, katanya yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, Sarawak.
Tidakkah ini sebenarnya suatu ugutan kepada pengundi?

Sejak bila bantuan kerajaan berdasarkan parti? Bukankah semua rakyat, tanpa mengira parti apa sekali pun, mereka membayar cukai yang sama kepada kerajaan?

Adakah BN sudah mula cemas dan terdesak di Sungai Besar sehingga terkeluar kata-kata berupa ugutan seperti itu?

Ini baru ugutan secara terbuka, belum lagi yang dilakukan secara tertutup, yang disampaikan kepada kumpulan kecil pengundi, dibisikkan dari telinga ke telinga dan pelbagai cara lainnya.

Ini juga baru seorang menteri yang dikesan melakukan ugutan, mungkin semua menteri yang datang ke Sungai Besar turut melakukan perkara yang sama.

Apakah menteri ini ingat sekarang seperti di zaman 60an atau 70an di mana segala-galanya mesti bergantung kepada kerajaan persekutuan?

Sedarkah beliau bahawa kerajaan negeri Selangor pun tidak lagi dipimpin oleh parti yang sama dengan kerajaan persekutuan dan banyak kerusi Parlimen di negeri itu juga adalah milik pembangkang?

Pernahkah kita dengar ada rakyat Selangor "mati tak makan" atau kebuluran semata-mata kerana bantuan kerajaan persekutuan lambat sampai?

Jika kerajaan persekutuan tidak mahu membantu, bukankah kerajaan negeri sentiasa ada sebagai galang gantinya?

Dengan ugutan terbuka Nancy yang mewakili kerajaan pimpinan Najib Razak itu, adalah penting untuk pengundi Sungai Besar membuktikan bahawa mereka ada maruah, harga diri dan bukan "pengemis"  yang segala-galanya mesti bergantung kepada kerajaan persekutuan.

Kalau pun kerajaan persekutuan memberi bantuan, bukankah ia sebenarnya sebagai balasan atas pelbagai cukai, sama ada secara langsung dan tidak langsung, yang dibayar oleh rakyat?

Jangan lupa juga, di sebalik kononnya kerajaan pusat sedia memberi bantuan, mereka sudah pun membebankan pengundi Sungai Besar dengan cukai GST, hutang 1MDB, beban hutang negara yang berkali ganda, penarikan subsidi serta membayar sebahagian kemewahan pemimpin, anak isteri dan keluarganya. ( SH 07/06/2016).
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers