Sunday, June 5, 2016

Sempena Ramadan, Pulau Pinang mulakan program Ibu Emas


Lim Guan Eng Pulau Pinang
GEORGE TOWN, 5 JUN: Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini mengumumkan program penghargaan Ibu Emas sebagai imbalan untuk pengorbanan serta sumbangan yang telah dicurahkan lebih 50,000 wanita yang berdaftar dalam program tersebut.
Setiap peserta yang berdaftar akan menerima sumbangan penghargaan sebanyak RM100 setiap tahun dan bayaran kali pertama akan diagihkan mulai esok ke akaun bank peserta.
“Minggu depan kerajaan negeri akan memulakan program penghargaan ibu emas untuk mengiktiraf sumbangan ibu yang tidak keluar rumah bekerja demi jaga anak, suami dan keluarga.
“Untuk IBU EMAS yang belum berdaftar, mereka boleh berbuat demikian di pejabat kerajaan negeri dan juga wakil rakyat kerajaan negeri Pakatan,” umum Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam Perutusan Ramadannya, hari ini.
Selain itu, Ahli Parlimen Bagan itu turut mengumumkan bonus tiga perempat bulan gaji untuk semua anggota pentadbiran negeri.
Pemberian Bonus Raya itu meningkat satu perempat bulan gaji berbanding setengah bulan gaji yang diterima penjawat awam yang terlibat tahun lalu, tambahnya.
“Di samping itu, kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa bantuan kepada sekolah agama rakyat akan diteruskan. Sejak 2008, kerajaan negeri telah menghulurkan peruntukan sebanyak RM41.6 juta iaitu jumlah yang jauh lebih besar berbanding dengan peruntukan yang diberikan sebelum 2008.
“Sekiranya kos pengambilan tanah untuk sekolah agama diambil kira, maka jumlah yang diperuntukkan adalah kira-kira RM45 juta,” katanya.
Dalam aspek tanah pula, Kerajaan Negeri telah menyumbang tanah bernilai RM80 juta untuk membina Kompleks Kehakiman dan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang di Jalan Scotland sebagai lambang penghormatan kepada agama Islam.
“Sungguhpun pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah ini di bawah kerajaan Persekutuan sudah lewat 21 bulan, adalah diharapkan ia boleh siap sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri,” tambahnya.
Dalam kenyataan yang sama, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak kepada semua penganut agama Islam di Malaysia, khususnya. – Roketkini.com
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers