NAMA NAJIB JANGAN SESEKALI DILUPAKAN....




Mesej paling penting dalam pilihanraya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun nanti ialah untuk menghantar mesej penolakan terhadap kepimpinan Najib Razak.

Kalahnya BN nanti dalam pilihanraya itu, walaupun mungkin tidak merubah apa-apa atau Najib boleh saja terus berdegil untuk kekal sebagai Perdana Menteri, tetapi sekurang-kurangnya harapan rakyat untuk melihat perubahan dalam PRU 14 semakin ternampak sinarnya.

Kemenangan BN pula pasti akan menambahkan lagi "kembangnya kepak" Najib untuk terus memimpin dan menghadapi pilihanraya umum akan datang dengan keyakinan yang semakin bertambah.

Oleh yang demikian, pilihan yang ada bagi Pakatan Harapan selain berusaha sedaya mungkin memastikan kekalahan BN ialah menjadikan Najib sebagai sasaran utama sepanjang kempen dan ceramah yang akan diadakan. 

Pengundi Sungai Besar dan Kuala Kangsar harus disedarkan mengenai beban yang terpaksa mereka tanggung selagi Najib tidak berjaya diundurkan dan bagaimana banyak kemanfaatan dapat dijelmakan sekiranya ketiadaannya dapat dijadikan kenyataan.

Daripada kenaikan kos sara hidup, beban GST, peningkatan hutang negara, Perdana Menteri dan keluarga paling bermewah dan membazir, terpalit dengan skandal kewangan terbesar dunia, 1MDB yang ditubuhkannya sedang disiasat oleh sekurang-kurangnya 7 buah negara, duit beribu-ribu juta pernah ada dalam akaun peribadinya, didedahkan media terpalit dengan penggubahan wang haram dan sehinggalah kepada pandangan buruk antarabangsa terhadap Malaysia, semuanya adalah Najib puncanya.

Daripada enam Perdana Menteri yang kita ada setakat ini, Najib ternyata mencipta rekod paling buruk untuk negara.

Tugas menyedarkan pengundi itu tentulah menjadi tanggungjawab Pakatan Harapan yang meletakkan calon Amanah di kedua-dua pilihanraya ini, dan bukannya boleh disandarkan kepada Pas, meskipun kedua-dua berlawan dengan calon BN juga. 

Pakatan Harapan adalah gabungan pembangkang yang lengkap dan mewakili semua kaum serta selayaknya menawarkan kerajaan alternatif kepada rakyat. Pas pula hanya mewakili satu kaum saja dan tidak  mungkin mampu membawa sebarang perubahan. 

Lagi pun, Pas juga awal-awal lagi mengatakan mereka tidak mahu berebut kuasa dengan BN dan selesa jika dapat menjadi penasihat kerajaan saja.

Dengan itu, calon Amanah sebenarnya menggalas amanah yang cukup besar di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Sementara Pas dilihat lebih banyak menyerang Amanah dan DAP dengan pelbagai versi ciptaan dan khayalan mereka sendiri, manakala UMNO hanya berdiam diri, Pakatan Harapan sebaliknya tidak harus terleka daripada terus  mendedah dan membongkar serta memberi tumpuan sepenuhnya mengenai keburukan Najib kepada rakyat dan negara.

Sebagaimana resepi kejayaan BN di Sarawak baru-baru, ada kemungkinan gambar dan poster Najib dalam pilihanraya kecil ini tidak sebanyak seperti dilambakkan dalam pilihanraya umum lalu. 

Namun demikian, sama ada BN meletakkan gambar Najib atau tidak, menjual rekaan sisi baik Najib atau sebaliknya, fokus Pakatan Harapan tidak harus tersasar.

Dua pilihanraya ini adalah mengenai Najib dan untuk mengundurkan Najib. Dan ia tentunya juga selari dengan kesediaan Tun Mahathir Mohamad yang telah mengesahkan akan turun berkempen untuk memastikan kekalahan BN di kedua-dua kawasan itu. (SH 05/06/2016

No comments: