Kuala Kangsar mesti mengundi tolak GST, protes 1MDB





KUALA KANGSAR, 6  JUN: Pilihanraya kecil Parlimen Kuala Kangsar merupakan platform terbaik bagi rakyat Perak menunjukkan bantahan terhadap segala dasar membebankan serta penyelewengan yang berlaku dalam pemerintahan kerajaan Barisan Nasional, kata Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar.
Jelasnya, PRK Kuala Kangsar perlu dianggap sebagai satu referendum untuk membuktikan rasa tidak puas hati rakyat terhadap skandal 1MDB dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang amat menghimpit kehidupan rakyat.
“Jika BN menang dalam pilihanraya kecil ini, kerajaan akan menganggap rakyat bersetuju dan tidak peduli tentang pelepasan wang berbilion ringgit dalam skandal 1MDB.
“Malah, kerajaan juga akan menganggap ini sebagai satu pengiktirafan rakyat terhadap cukai GST yang dikenakan selama ini, dan kemudian mendorong kerajaan menaikkan lagi kadar GST pada masa depan,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Sivakumar yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak meminta pengundi Kuala Kangsar memilih calon Pakatan Harapan dari Parti AMANAH, Dr. Ahmed Termizi Ramli yang merupakan seorang profesor dalam bidang fizik nuklear untuk mewakili mereka di Parlimen.
Katanya, Dr. Ahmed Termizi merupakan seorang anak tempatan yang menonjolkan potensi cemerlang dan telah banyak berkhidmat untuk negara melalui pelbagai pencapaian serta penemuan dalam bidang akademik.
“Walaupun ramai mengatakan pilihanraya kecil ini bakal melihat pertembungan tiga penjuru, namun kita harus ingat bahawa perlawanan sebenar ialah antara Pakatan Harapan dan BN.
“Ia merupakan satu perjuangan menentang kezaliman dan ketidakadilan yang semakin teruk berlaku di negara kita. Rakyat Perak perlu mengambil peluang ini untuk membetulkan segala yang tidak betul dalam negara kita dengan mengundi calon Pakatan Harapan,” ujarnya.
Dr. Ahmed Termizi, 61, merupakan seorang profesor lulusan Sarjana Muda Fizik dari Universiti Leeds (1975) dan Sarjana Muda Kesihatan dan Keselamatan Radiologi dari University of Salford (1980).
Beliau kemudiannya menyambung pengajian dalam bidang Diploma Fizik Pengionan dan PhD dalam bidang Fizik Perubatan dari Universiti Swansea, Wales (1984).
Menghabiskan persekolahannya di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Dr. Ahmed Termizi bersara sebagai Profesor Gred B di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan kini bergiat aktif dalam politik.
Bapa kepada sembilan cahaya mata itu merupakan Ahli Jawatankuasa Biro Antarabangsa dan Biro Pilihanraya AMANAH Nasional, Ahli Jawatankuasa Biro Politik AMANAH Perak serta Naib Ketua AMANAH Kuala Kangsar selain aktif dalam Pertubuhan IKRAM Malaysia.
Sejak 1987, beliau telah mengendalikan 19 projek penyelidikan, menghasilkan 11 buku ilmiah, 97 kertas jurnal antarabangsa dan 79 kertas pelbagai persidangan berkaitan dengan bidang fizik.
Dr. Ahmed Termizi yang merupakan Ahli Senat UTM itu juga lantang membantah pembinaan loji nadir bumi Lynas yang membahayakan penduduk di Gebeng, Kuantan.
Atas sumbangan besarnya kepada negara, beliau dianugerahkan Pingat Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) oleh Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shahdan serta pernah dipilih melaksanakan tugasan di bawah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa.
Pada pilihanraya kecil Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun ini, Dr. Ahmed Termizi bakal berentap dengan Datin Mastura Abdul Yazid daripada BN dan Dr. Najihatussalehah Ahmad daripada PAS.
Kerusi itu kosong setelah penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu. – Roketkini.com

No comments: