Kerajaan Pulau Pinang teruskan sumbangan berkala RM600 seorang untuk 2,396 pemandu teksi


Guan Eng-Teksi
BUTTERWORTH, 1  Jun 2016 : Seramai 2,396 pemandu teksi menerima insentif RM600 seorang daripada Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini sebagai menghargai khidmat mereka kepada rakyat.
Insentif yang disampaikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, hari ini merupakan pemberian kedua untuk tahun ini, serta yang kelapan sejak diperkenalkan pada 2013.
Menurut Guan Eng, sejak 2013, RM4.663 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk semua pemandu teksi yang sah berdaftar di Pulau Pinang.
“Semua pembayaran ini berjaya diteruskan kerana kerajaan negeri menjalankan pentadbiran bersih yang tidak makan wang untuk memastikan rakyat boleh mendapat wang.
“Tiada negeri lain di Malaysia selain Pulau Pinang yang menyediakan bayaran insentif kepada semua pemandu teksi yang berdaftar,” ujarnya dalam majlis penyampaian insentif itu di Seberang Perai Arena dekat sini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih berkata, kerajaan negeri sedia mendengar setiap keluhan pemandu-pemandu teksi negeri itu kerana telah berperanan sebagai duta kecil negeri Pulau Pinang.
“Sebagai contoh, kerajaan negeri faham dengan kesesakan lalu lintas yang dihadapi oleh rakyat negeri ini.
“Atas sebab itu, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif memulakan kajian menyeluruh berkenaan keadaan semasa sistem pengangkutan dan lalu lintas di Pulau Pinang,” jelasnya.
Ia antara lain terkandung di dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang merangkumi bas, teksi, kereta kabel, LRT/monorel dan feri atau teksi air yang menelan belanja RM27 bilion. – Roketkini.com

No comments: