Abai undi kaum lain, Pas perjudi nasib fokus Melayu - Ilham Centre


Presiden Pas memotong pulut ulang tahun Pas dengan keris panjang.Presiden Pas memotong pulut ulang tahun Pas dengan keris panjang.
Ilham Centre menyifatkan Pas sebenarnya sedang berjudi nasib apabila hanya memikirkan undi Melayu  dengan mengabaikan terus undi kaum lain.
Pengerusi Eksekutifnya, Hisommudin Bakar berkata, hal ini dapat dilihat pada aksi Presiden Pas yang tampil dengan sebilah keris panjang memotong pulut sebagai simbolik perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-62 di Kota Bharu, Kelantan semalam.
Menurutnya, muktamar Pas cuba menghantar mesej bahawa parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu kini turut menjunjung perjuangan Melayu selain penekanan kepada Islam seperti kelaziman sebelum ini.
"Saya percaya tindakan ini selari dengan strategi Pas yang berusaha menawan hati penyokong Umno yang kecewa dengan kemelut parti mereka untuk memindah sokongan kepada Pas sebagai (parti) alternatif.
"Dengan formula itu, Pas sebenarnya beranggapan mereka akan menjadi parti yang mendapat laba dari perpecahan Umno dan akhirnya menjadikan Pas parti yang kuat kerana didukungi oleh orang Melayu.
"Dan adakah benar, formula menjulang keris dan berbusana lengkap pahlawan Melayu akan diterjemahkan undi orang Melayu kepada Pas?" soalnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.
Walau bagaimanapun pada fasa strategi Pas ini, ujarnya, parti tersebut kelihatan terpaksa mengorbankan sebarang pertalian dengan DAP demi mendekatkan sokongan Melayu kepada Pas.
"Dengan itu, menampakkan simbol penolakan total pada DAP dangan kenyataan berbaur serangan kepada DAP disamping mengukuhkan imej penonjolan membela kebudayaan Melayu," tegasnya.
Mengulas lanjut isu keris, Hisommudin berkata, Umno pernah terkena tempias penolakan bangsa lain kepada mereka akibat penggunaan senjata tradisional Melayu itu dan elemen menonjolkan aspek dominasi Melayu ke atas bangsa lain.
"Hishammuddin Tun Hussein sewaktu menjadi Ketua Pemuda Umno pernah menjulang dan mengucup keris telanjang dan akhirnya mengundang kecaman dari bangsa lain dan akhirnya menjadi isu yang besar perlu ditangkis Umno," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap Pas bersedia untuk dikritik selepas mengambil langkah tidak popular itu demi meraih matlamat yang dilihatnya masih lagi samar-samar digapai oleh Pas.
"Saya yakin, sejak dua hari muktamar Pas berlangsung, serangan sinis ataupun kecaman netizen dizahirkan terbuka di media sosial berbanding pujian kepada mesej Pas tersebut," tambah Hisommudin lagi.

No comments: