TIGA PENJURU HANYA DAPAT DIELAKKAN JIKA PAS TIDAK TERUS SYOK PAKAI BAJU UKURAN LAMA


SHAHBUDIN.COM


Walaupun semua yang membenci Najib Razak mengharapkan berlaku pertandingan satu lawan satu antara pembangkang dengan BN di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, namun harapan itu nampaknya semakin sukar menjadi kenyataan.

Ia bukanlah disebabkan oleh Pakatan Harapan yang mempunyai tiga parti tidak sedia untuk bertolak ansur, sebaliknya lebih berpunca daripada Pas yang hanya ada rakan bernama Ikatan, sebuah parti paling kecil keahliannya, tetap berkeras mahu bertanding di kedua-dua kawasan tersebut.
Pas seolah-oleh merasakan Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah milik abadi mereka untuk ditandingi, walaupun Naib Presidennya, Idris Ahmad pernah mengatakan parti itu tidak beriman semata-mata kepada pilihanraya, manakala Hadi Awang tidak lama dulu mengatakan pihaknya tidak mahu berebut kuasa dan hanya mahu menasihati kerajaan saja.

Lalu, kenapa sekarang begitu bermati-matian mahu bertanding di kedua-dua kerusi tersebut dan seolah-olah akan gugur iman jika melepaskan salah satu daripadanya?

Dalam laporan Malay Mail Online, Hadi Awang juga berkata, pihaknya akan bertanding sendirian di kedua-dua pilihanraya kecil itu dan tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Kata Hadi lagi, Pas sudah bertanding sejak merdeka di kedua-dua kawasan itu dan oleh yang demikian, mereka mempunyai hak mutlak untuk terus bertanding.
Dalam laporan Sinar Harian pula, Hadi dipetik sebagai berkata, Pas mempunyai sokongan akar umbi yang kuat di Kuala Kangsar serta Sungai Besar dan parti lain yang mahu bertanding harus mengukur baju di badan sendiri.

Sepatutnya semua pihak yang mahukan perubahan menghormati kedudukan Pas dan jangan nak berebut, katanya lagi.

Jika Pas merasakan kedua-dua kerusi itu hak mereka berdasarkan pernah bertanding sejak merdeka, ia adalah alasan jumud yang tidak semestinya boleh diterima pakai sepanjang masa serta berdasarkan perubahan serta keperluan semasa.

Jika kekalahan 399 undi di Sungai Besar dan 1082 undi Kuala Kangsar yang dialami oleh Pas dalam pilihanraya 2013 mahu dijadikan sandaran, Pas seharusnya sedar bahawa ketika itu mereka bersama dalam Pakatan Rakyat dan mendapat sokongan kuat daripada PKR dan DAP.
Untuk Sungai Besar, berdasarkan komposisi 2013, Pas tidak seharusnya lupa bahawa undi bukan Melayu ialah 33 peratus sementara di Kuala Kangsar sebanyak 31 peratus.

Oleh itu, jika mereka bertanding kali ini, tanpa dibantu PKR dan DAP sebaliknya bantuan gantian diperolehi daripada Ikatan yang jumlah keahliannya pun kita tak tahu, apakah mereka yakin pengundi bukan Melayu masih menyokongnya?

Katalah berlaku juga pertandingan tiga penjuru, potensi Pas sebenarnya hanyalah di kalangan 66 peratus pengundi Melayu di Sungai Besar dan 68 peratus di Kuala Kangsar, itu pun terpaksa berebut dengan BN dan Pakatan Harapan.

Bagi pengundi bukan Melayu, kecenderungan mereka sudah tentu lebih kepada DAP serta PKR dan walaupun dalam pilihanraya Sarawak terlihat ada kecenderungan kembali menyokong BN, tetapi sudah tentu pengundi bukan Melayu sekarang ini rasa tertipu apabila jawatan Timbalan Ketua Menteri tidak diberikan sebagaimana ada pemimpin yang menjanjikannya.
Maknanya, walaupun Pas tewas dalam majoriti kecil dalam pilihanraya umum lalu, situasinya sudah berubah sekarang ini.

Dalam pertandingan tiga penjuru, dengan undi Melayu berpecah tiga dan undi jika undi bukan Melayu dapat dikawal dengan baik oleh DAP dan PKR, calon Pakatan Harapan lebih peluang untuk menang.

Kalau berlaku pertandingan dua penjuru antara Pas dengan BN sekalipun, ia belum tentu menjamin kemenangan kepada Pas jika DAP dan PKR tidak memberikan komitmen sokongan.

Sebab itu, dalam Pas mahu berkeras dan bermati-matian ingin bertanding di kedua-dua kerusi tersebut, mereka juga harus rasional, terbuka, pandang kiri pandang kanan dan tidak cepat menutup pintu rundingan sebagaimana yang dituntut oleh Islam sendiri.

Sedia bertolak ansur dan berkompromi adalah lebih baik bagi pihak pembangkang iaitu Pas dan Pakatan Harapan daripada parti Islam itu terus berkeras dan masih "syok sendiri" memakai baju dengan ukuran lama, tambahan lagi Amanah yang disebut- sebut akan bertanding sudah pun menghulurkan kelembutan untuk bertanding satu kerusi saja.

Bertolak ansur dan berkompromi dengan Pakatan Harapan mungkin tidak baik jika Pas hanya ingin menjadi talian hayat kepada Najib Razak dalam mengekalkan kuasanya.  (SH 15/05/2016).
Anda mungkin juga meminati:

No comments: