Tuesday, May 31, 2016

PILIHAN PALING SESUAI - PKR DI SUNGAI BESAR, AMANAH DI KUALA KANGSAR


Di Sungai Besar, UMNO terlebih dahulu mengumumkan nama calonnya dengan menamakan Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zuhdi untuk bertanding dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan pada 18 Jun depan.

Kemudian Pas mengumumkan  Adun Meru, Dr Rani Osman sebagai ayam tambatannya untuk bertanding di kerusi Parlimen tersebut.

UMNO letak Adun, Pas pun ikut letak Adun.

Di Kuala Kangsar pula, Pas yang lebih dahulu mengumumkan seorang wanita iaitu Dr Najihatussalehah Ahmad sebagai calonnya.

Apabila UMNO mengumumkan calonnya, mereka juga memilih seorang wanita iaitu Mastura Mohd Yazid, balu Wan Khairil Wan Ahmad untuk dipertaruhkan bertanding di kerusi yang pernah diisi oleh suaminya sejak 2013 yang lalu.

Pas letak wanita, UMNO juga ikut letak wanita.

Mula-mula Pas tiru UMNO, kemudian UMNO pula tiru Pas.

Secara formal tidak ternampak wujud kerjasama antara kedua-dua parti itu, tetapi dalam soal calon seperti tersirat elemen senada, seirama dan saling bahu membahu antara Pas dan UMNO.

Meletakkan Dr Rani dan Dr Najihatussalehah, kedua-duanya orang luar Sungai Besar dan Kuala Kangsar sedangkan ada calon tempatan yang lebih sesuai, memperlihatkan Pas hanya ingin memecahkan undi dan bukan untuk menang kerusi.

Di Sungai Besar, jika pun Pas ingin meletakkan Adun juga sebagai calonnya, memilih Salehan Mukhyi, wakil rakyat Sabak yang berjiran sebelah dengan Sungai Besar adalah lebih tepat berbanding Dr Rani yang didatangkan lebih jauh iaitu dari Meru.

Begitu juga di Kuala Kangsar, memilih Raja Ahmad Iskandar Raja Yakob, Yang Dipertua Pas kawasan tersebut sebagai calon akan memberi banyak kelebihan kepada Pas jika dibandingkan dengan Dr Najihatussalehah yang berasal dari Pasir Salak.

Tetapi Pas seperti menolak untuk meletakkan calon yang boleh menang di kedua-dua kawasan itu.

Bermakna sekarang pertandingan tiga penjuru tidak lagi dapat dielakkan. Hanya menunggu Pakatan Harapan saja yang belum mengumumkan siapa calonnya.

Adakah Amanah akan bertanding di kedua-dua kerusi itu atau salah satunya akan ditandingi oleh PKR?

Melihat kepada calon UMNO dan Pas yang diketengahkan, peluang Pakatan Harapan untuk menang adalah terbuka di kedua-dua kawasan itu dengan syarat dapat meletakkan calon yang betul dan memastikan undi bukan Melayu benar-benar berpihak kepada mereka.

Berdasarkan UMNO meletakkan Budiman dan Pas meletakkan Dr Rani di Sungai Besar, seiring dengan Pas pula menjadi sebahagian daripada komponen dalam kerajaan negeri, maka lebih sesuai jika PKR bertanding di situ.

Walaupun berlaga sesama sendiri, ia akan memberi kelebihan kepada PKR kerana kerajaan negeri Selangor sedang diketuai Azmin daripada parti tersebut. Meletakkan calon PKR juga seolah-olah untuk menambah seorang lagi wakil kerajaan negeri untuk  bersuara di dalam Parlimen.

Ditambah dengan salah satu DUN dalam Sungai Besar sudah pun dikuasai oleh DAP melalui Adunnya, Ng Suee Lim, kelebihan mendapatkan undi bukan Melayu yang berjumlah 33 peratus nyata berpihak calon PKR yang mewakili Pakatan Harapan.

Namun demikian, sekiranya Amanah mahu diberi peluang bertanding di Sungai Besar, maka parti itu mesti meletakkan kalangan pemimpin utamanya sebagai calon. Lebih baik dan ternampak keberanian jika Mohamad Sabu sendiri yang bertanding.

Di Kuala Kangsar, sebagaimana yang sudah dimaklumi bahawa calon BN, Mastura Mohd Yazid sudah mula dilihat sebagai beban dan mendatangkan banyak masalah, manakala calon Pas pula bukan dipilih untuk menang, ia memberi umpama tuah terbuka buat Pakatan Harapan.

Calon yang paling sesuai mewakili Pakatan Harapan di kawasan itu ialah Nizar Jamaluddin, bekas Menteri Besar Perak sebelum ini. Beliau dikenali ramai di seluruh Perak dan ada rekod kerja sebagai pemimpin yang cukup membanggakan.

Dengan Mastura berasal dari Negeri Sembilan, malah masih ahli UMNO Chembong dalam bahagian Rembau,  Dr Najihatussalehah dari Pasir Salak dan Nizar sebagai Adun Changkat Jering, bekas Menteri Besar Perak itu ternyata lebih hampir dengan Kuala Kangsar berbanding pesaing-pesaingnya.

Calon yang betul, kelemahan calon lawan, kedudukan Pas yang bukan lagi pembangkang berwibawa, banyaknya isu berkaitan Najib Razak yang boleh dimanfaatkan sebagai bahan kempen serta bantuan kempen oleh Tun Mahathir dan grup Selamatkan Malaysia, kecuali memang sudah ditakdirkan Tuhan,  di atas kertas semua kelebihan adalah berpihak kepada Pakatan Harapan sama di Sungai Besar mahu pun di Kuala Kangsar. (SH 31/05/2016).
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers