NAJIB, PEMIMPIN YANG SUDAH TIADA RASA MALU DALAM DIRINYA




Seorang pemimpin UMNO yang baru kembali dari menunaikan umrah memberitahu, antara doanya di Multazam, satu tempat berhampiran Kaabah yang dianggap paling makbul untuk memohon sesuatu hajat ialah meminta kepada Tuhan supaya negara kita segera diberikan pemimpin yang baik dan bebas daripada segala skandal.

Katanya, selain meminta beberapa doa lain, tindakannya memohon doa sedemikian ialah kerana merasakan sudah tiada jalan lagi untuk mengharapkan Najib berundur daripada jawatannya.

Najib, katanya, seolah-olah tidak mahu mendengar suara dari dalam dan luar negara yang menolak dan mengutuknya berkaitan skandal 1MDB serta dana yang masuk ke akaun peribadinya, meskipun secara lumrahnya, jika di negara lain, mereka sudah pasti mengundurkan diri kerana tidak mahu terus-terusan mengorbankan rakyat dan negara.

Hanya dengan berdoa kepada Tuhan, ia merupakan usaha terakhir yang saya mampu lakukan untuk kepentingan negara sambil berharap doa saya akan dimakbulkan, kata pemimpin tersebut yang kemudian menunjukkan bulu roma di tangannya yang sedang tegak berdiri.

Sememangnya, Najib boleh dianggap mencipta sejarah yang tersendiri buat negara dan dirinya. Sepanjang masa, di seluruh dunia ada saja berita-berita buruk disiarkan mengenai dirinya melalui pelbagai saluran media.

Kadang-kadang, sepertimana yang dilakukan oleh Chanel 4, sebuah saluran TV di United Kingdom, berita mengenai dakwaan rasuah melibatkan Najib itu sengaja disiarkan ketika kunjungan rasmi Perdana Menteri ke London baru-baru ini.

Ia disiarkan seolah-olah sebagai bantahan atau protes terhadap lawatan rasmi Najib, pemimpin yang dianggap paling tercemar di dunia ketika ini.

Tidak ada mana-mana pemimpin lain, sama ada di dunia sebelah Asia, Afrika, Amerika Latin dan sebagainya yang paling menjadi fokus media antarabangsa sekarang ini melainkan Najib. 

Tetapi, di sebalik berita silih berganti dan pelbagai pendedahan baru mengenai dirinya, Najib masih lagi selamba saja menghadapi semua itu seolah-olah sedikit pun tiada perasaan malu dalam dirinya.

Beliau tetap mempamerkan wajah tidak bersalahnya, walaupun dalam masa yang sama semua orang juga tahu bahawa banyak media antarabangsa tidak dilayannya, malah diusir keluar hanya kerana bertanyakan soalan kepadanya.

Sesungguhnya, ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Berbeza dengan Tun Mahathir yang tidak pernah lari daripada menjawab soalan, bahkan tidak pernah menolak sesiapa untuk bertanyakan soalan kepadanya.

Sebab itu, bagaimana sekali pun orang marah dan menolak Tun Mahathir, tetapi kerana sumbangan dan jasanya juga tak ternilai, tidak pernah kedengaran ada sesiapa sampai sanggup berdoa di depan Kaabah di sebalik dalam masa yang sama terus memberikan kepada UMNO dan pemimpin-pemimpin yang lain.

Hanya di bawah Najib, sementara secara berdepan ada yang tidak mampu melakukan penolakan secara terbuka sebagaimana banyak pihak lain yang sudah berbuat demikian, ada juga yang dalam diam menganggap beliaulah pemimpin paling menyusahkan rakyat dan negara. (SH 21/05/2016).

No comments: