Sunday, May 15, 2016

Ku Li mahu Laporan Audit disebar untuk umum selepas kontroversi laporan PAC


Ku Li mahu laporan audit disebar untuk umum
Ku Li mahu laporan audit disebar untuk umumAhli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mahu Laporan Ketua Audit Negara, yang diklasifikasi sebagai “Rahsia Rasmi”, diubah kepada “untuk tatapan umum” dengan segera.
"Ini penting kerana dilaporkan bahawa kenyataan tertentu di dalam Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk dibentangkan dalam Parlimen telah dipadam.
"Ini merupakan perkara penting yang penuh kontroversi," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau hal ini berkaitan dengan pemindahan wang yang kononnya dipinjam daripada peminjam antarabangsa dengan cara di luar batasan undang-undang.
Beliau risau mengenai perkara ini kerana negara semestinya mempertahankan integriti dan kedudukan Dewan Rakyat sebagai sebuah badan di mana Ahli-Ahli Dewan seharusnya bertindak dengan penuh tanggungjawab dan jujur tanpa mengelirukan rakyat.
Dengan adanya pemadaman laporan PAC katanya, laporan yang akan dibawa ke Dewan Rakyat itu merupakan laporan yang tidak boleh dipertahankan memandangkan ia berkaitan dengan pinjaman wang oleh 1MDB yang kononnya dibuat bagi pihak negara. Pemadaman tersebut sebenarnya bukan sahaja di luar batasan undang-undang tetapi merupakan juga pemesongan serius terhadap Seksyen 9(i), (j) dan (n)(iii) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.
Menurut beliau pemesongan terhadap Seksyen di dalam Akta yang disebutkan itu merangkumi pengubahan, salah pembentangan dan penipuan terhadap dokumen yang dibentang di Dewan Rakyat. Ini merupakan kesalahan mengikut peruntukan di dalam Akta ini. Ini juga bermakna apa jua pemadaman yang dibuat boleh mendatangkan keraguan di kalangan rakyat mengenai sama ada Laporan tersebut mencerminkan atau tidak akan kebenaran keseluruhan kenyataan mengenai isu 1MDB.
Atas sebab-sebab yang disebut, beliau menyeru agar Laporan Ketua Audit Negara, yang diklasifikasi sebagai “Rahsia Rasmi”, diubah kepada “untuk tatapan umum”.
"Saya juga membuat seruan ini kerana mengikut Perlembagaan, Ahli-Ahli Dewan Rakyat sebenarnya berhak mendapat Laporan Ketua Audit Negara sebelum Parlimen bersidang pada 16hb Mei, 2016.
" Isu-isu yang dibangkitkan itu amat penting kepada rakyat dan tidak ada sebab kenapa Laporan Ketua Audit Negara diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi," katanya
Beliau mengulangi bahawa keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Najib supaya Ketua Audit Negara menyiasat isu 1MDB dan menyerahkan hasil penyiasatan tersebut sebagai laporan untuk pertimbangan Dewan Rakyat. Dalam membuat keputusan tersebut, Perdana Menteri memberi gambaran bahawa tidak ada apa yang hendak diselindungkan.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers