Saturday, May 21, 2016

Ketua Audit Negara akui cukup bukti siasat 1MDB



Ambrin BuangAmbrin Buang
Laporan Jabatan Audit Negara berkaitan 1MDB boleh dijadikan asas yang cukup bagi siasatan dilakukan terhadap syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu, kata Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.
Dalam satu wawancara dengan stesen TV Singapura, Channel News Asia semalam, Ambrin dilaporkan bersedia membantu mana-mana pihak untuk memulakan siasatan.
"Langkah selanjutnya seperti yang disyorkan oleh PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara), mereka mahu siasatan dilakukan terhadap beberapa individu tertentu di dalam syarikat berkenaan, biar polis melakukan kerja mereka, kami akan membantu mana-mana pihak yang ingin melakukan siasatan," wawancara itu dipetik.
Mengulas pengakuan Amrin itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara yang juga anggota PAC, Tony Pua menggesa polis mempercepatkan siasatan terhadap individu-individu yang dikaitkan dengan 1MDB seperti yang telah didedahkan di dalam laporan akhir PAC enam minggu lalu.
Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, siasatan segera perlu dilakukan bagi memastikan dalang skandal kewangan RM50 bilion membabitkan syarikat sarat hutang itu dihadapkan ke muka pengadilan.
Rakan rapat Perdana Menteri, Jho Low dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Halmi adalah antara individu yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.
Bagaimanapun sejak laporan akhir PAC dibentangkan di Parlimen pada 7 April yang lalu, polis masih belum memanggil individu-individu terbabit untuk disoal siasat, ujar Tony seperti dilapor Roketkini.com.
Tony mendakwa, Shahrol telah mengarahkan 1MDB dengan kapasitinya sebagai CEO untuk membayar US$1.03 bilion kepada Good Star Limited, sebuah syarikat yang disahkan Bank Negara Malaysia dan telah dimaklumkan kepada PAC sebagai "sebuah syarikat yang dimiliki oleh individu yang tidak ada kaitan dengan Petrosaudi International Limited".
Petrosaudi International Limited, syarikat yang menjalinkan usaha sama pelaburan dengan 1MDB, bagaimanapun tidak mengulas mengenai status Good Star Limited yang didakwa mempunyai kaitan dengan anak-anak syarikatnya.
"Kini PAC dan Ketua Audit Negara telah mengaitkan Datuk Shahrol Halmi dengan salah urus tadbir 1MDB, apa lagi yang ditunggu Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Khalid Abu Bakar?" soal Tony dalam satu kenyataan hari ini.
Malah, katanya, kegagalan polis untuk bertindak, dan ironi kepantasan siasatan luar negara hanya akan mengakibatkan rakyat Malaysia membuat kesimpulan bahawa mereka (polis) dengan seboleh-bolehnya cuba untuk menutup jenayah yang melibatkan tokoh-tokoh politik berkuasa di negara ini.

Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers