Sunday, May 1, 2016

BN tak pernah tepati janji hormati Tanah Adat, kini masanya untuk berani ubah

N78_paulraja_sarawak_

Antara masalah utama yang membelenggu rakyat tempatan adalah isu tanah adat yang seharusnya dihormati pemerintah tetapi dirampas oleh syarikat-syarikat besar yang digelar “Big Six” yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kroni Barisan Nasional.
Mengikut hasil tinjauan Paul yang juga graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) di kebanyakan kawasan tanah adat di sekitar daerah ini, kebanyakan tanah-tanah berkenaan telah dirampas syarikat-syarikat yang mendapat ‘restu’ BN melalui pengeluaran provisional lease (PL) atau pajakan sementara.
Sehubungan itu, Paul berkata, janji yang ditabur Pemangku Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, untuk menyelesaikan permasalahan yang melibatkan tanah adat hanyalah janji kosong yang tidak pernah ditunaikan.
“Ini bukan sahaja penindasan, bagi saya ini adalah satu perkara yang akan mendatangkan kesan yang memudaratkan kehidupan penduduk tempatan kerana tanpa tanah mereka tiada tempat tinggal dan untuk mencari sumber kehidupan,” katanya kepada Roketkini.com.
Pada tahun 1996, Paul membawa dan mewakili penduduk tempatan dalam satu kes di mana pihak pemerintah, BN Sarawak melalui pihak polis telah menangkap 42 Orang Kayan Uma Bawang yang mempertahankan tanah Adat mereka.
Selain aktif sebagai peguam, beliau turut menyumbangkan tenaga dalam lapangan aktivisme dengan mengasaskan Kongres Kebangsaan Dayak, sebuah NGO yang konsisten memperjuangkan isu seperti tanah Adat dan pekerjaan penduduk tempatan.
Mengenai saingan yang bakal dihadapinya dalam pilihanraya negeri Sarawak pada 7 Mei ini, Paul mengakui agak kecewa kerana terpaksa bertanding dengan rakan dari Pakatan Harapan, iaitu Paul Baya, yang mewakili PKR.
Katanya, tindakan di saat akhir pihak PKR meletakkan calon di kerusi yang sepatutnya ditandingi DAP seperti yang telah dipersetujui pucuk pimpinan kedua-dua pihak akan hanya memecahkan undi pembangkang.
Bagaimanapun, katanya, beliau akur dengan keputusan yang dibuat kepimpinan tertinggi parti dan berjanji untuk komited melaksanakan tugasnya sebagai calon.
“Musuh utama kita tetap Barisan Nasional, bukan PKR,” tegas Paul Raja yang kini berusia setengah abad dan berketurunan Dayak-Kelabit.
Selain calon daripada PKR, kerusi yang ditandinginya itu bakal mendapat tentangan hebat daripada calon terus BN, Datuk Gerawat Gala dan calon bebas, Roland Dom Mattu.
DUN Mulu merupakan salah satu daripada 11 kerusi baru yang diperkenalkan untuk pilihanraya kali ini setelah persempadanan semula dibuat. Bilangan pengundi di kawasan berkenaan adalah 8,600 dengan pecahan peratusan mengikut kaum; Orang Ulu, 70.4 peratus, Iban (22.5%), Cina (3.7%), Melayu dan Melanau (1%) dan lain-lain (2.4%). – Roketkini.com





Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers