Individu, syarikat tersenarai dalam Panama Papers perlu disiasat


charlessantiago
KLANG, 13 APRIL: Satu siasatan bebas dan terperinci perlu dilakukan ke atas individu dan syarikat dari Malaysia yang tersenarai dalam pendedahan dokumen firma guaman Mossack Fonseca atau Panama Papers, agar masalah pengelakan cukai dan pengubahan wang haram dalam negara ini dapat diatasi.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata siasatan itu penting bagi mengenal pasti setiap pihak yang mungkin menggunakan syarikat rahsia di luar negara untuk menyembunyikan kegiatan jenayah berunsur kewangan atau aktiviti tidak sah.
“Memang tidak salah untuk mana-mana pihak mempunyai syarikat di luar negara asalkan ia berdaftar, tetapi banyak syarikat rahsia luar pesisir di seluruh dunia digunakan untuk tujuan tidak sah, termasuk penipuan, pengedaran dadah dan pelarian cukai.
“Jadi, saya tidak faham bagaimana ada menteri, ahli politik dan golongan elit UMNO yang tidak sedar akan hal ini dan mengatakan siasatan ke atas individu didedahkan oleh Panama Papers tidak perlu dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kenyataan dari pihak UMNO itu tidak wajar memandangkan Malaysia tersenarai sebagai negara yang mencatatkan purata aliran kewangan haram kelima tertinggi di dunia sepanjang dekad ini – membuktikan bahawa ia merupakan masalah besar untuk negara.
Sebelum ini, kata Charles, Global Financial Integrity (GFI) melaporkan bahawa Malaysia telah kehilangan jumlah terkumpul sebanyak AS$418.542 bilion (RM1.8 trilion) sejak tahun 2004.
Malah, beliau menambah, agensi itu mendedahkan pada tahun 2013 sahaja, negara kehilangan sebanyak AS$48.25 bilion (RM187.12 bilion).
“Aliran keluar modal haram itu berpunca daripada pengelakan cukai, jenayah, rasuah, dan aktiviti haram lain.
“Oleh itu, siasatan terperinci terhadap pendedahan Panama Papers itu penting agar kerajaan dapat mengatasi masalah aliran kewangan haram di negara ini. Kerajaan harus buktikan bahawa mereka serius dalam membendung masalah tersebut,” katanya.
Charles turut menyelar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low baru-baru ini bahawa tidak salah untuk mana-mana pihak mengelakkan cukai dengan memindahkan aset ke luar negara, asalkan pendapatan mereka bukan daripada sumber haram.
Menurutnya, terdapat 2300 nama individu dan syarikat Malaysia dalam Panama Papers, termasuk nama anak-anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, serta bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Mahathir Mohamad, justeru sebarang pengelakan cukai, pelarian cukai dan pengubahan wang haram akan menjejaskan ekonomi dan pendapatan negara.
Katanya, Gabungan Tax Justice Network (TJN) menyatakan bahawa RM125.1 trilion disembunyikan di syarikat-syarikat luar pesisir dan ia cuma mengambil kira 10,000 orang.
Dengan jumlah sebanyak itu, tambah beliau, sukar dibayangkan berapa banyak sumbangan terhadap ekonomi negara dan kemudahan awam yang dapat dilaksanakan.
“Cuba kita fikir, berapa ramai rakyat susah yang dinafikan hak mereka untuk menikmati kemudahan kesihatan, makanan dan pendidikan tinggi hanya kerana pengelakan cukai oleh individu dan syarikat-syarikat tamak ini.
“Adakah adil jika semasa rakyat biasa semakin ditekan dengan pelaksanaan cukai seperti GST, golongan kaya dan elit pula dibenarkan untuk menyembunyikan kekayaan mereka di luar negara?” katanya. – Roketkini.com

No comments: