Hutang 1MBD cecah RM55 billion, Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB harus bertanggungjawab





Hutang 1MBD cecah RM55 billion, Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB harus bertanggungjawab

Tony Pua 3
KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Datuk Seri Najib Razak selaku pengasas syarikat sarat hutang dan skandal, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), harus bertanggungjawab penuh terhadap kegagalan syarikat milik Kementerian Kewangan itu dalam pengurusan kewangannya.
Selain memegang jawatan Perdana Menteri, Najib juga menerajui Kementerian Kewangan.
Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua, mendapati ada banyak sebab untuk mengaitkan Najib dengan kegagalan syarikat terbabit seperti yang termaktub di dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan pada hari terakhir sidang Parlimen semalam.
Mengikut Memorandum dan tata urusan syarikat (M&A) 1MDB, beliau yang juga Ahli PAC berkata, setiap aktiviti pindahan wang syarikat terbabit perlu disertakan bersama surat sokongan bertulis yang jelas daripada Perdana Menteri.
“Oleh itu, Perdana Menteri secara peribadinya telah menandatangani semua resolusi bertulis berkaitan pelaburan syarikat berkenaan yang telah gagal, seperti US$1.83 bilion usaha sama Petrosaudi, pinjaman bon bernilai US$6.5 bilion, pengambilalihan berbilion ringgit aset tenaga dan hartanah serta pemecatan dua juruaudit luar, Ernst & Young dan KPMG,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, mengikut M&A 1MDB itu juga, syarikat berkenaan dilarang untuk melantik wakil pegawai daripada Kementerian Kewangan untuk menyertai 1MDB bagi membolehkan satu sistem semak dan imbang dijalankan terhadap syarikat itu.
“Kurangnya pengawasan di peringkat Menteri Kewangan, seperti yang diakui oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar sendiri kepada PAC, hanya meningkatkan lagi kemungkinan keterlibatan Perdana Menteri dalam kesemua skandal berkenaan,” katanya.
Malah, katanya lagi, Najib selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB juga gagal mengarahkan 1MDB untuk memberikan kerjasama penuh dan menyediakan dokumen serta rekod yang lengkap berkaitan hal kewangan syarikat terbabit kepada PAC, khususnya yang dilakukan di luar negara.
“Justeru, paling kurang pun, Najib yang juga Menteri Kewangan harus bertanggungjawab selaku Menteri… Malah, hutang yang ditanggung 1MDB kini adalah RM55 bilion sejak Oktober tahun lalu, iaitu lebih besar daripada bajet RM32.3 bilion Kementerian Kewangan bagi tahun 2016,” katanya. -Roketkini.com

No comments: