Ezam Dijangka Sertai PKR Dalam Masa Terdekat-SUARA TV

Ezam Dijangka Sertai PKR Dalam Masa Terdekat
wan azizah azmin ezam
KUALA LUMPUR 10 APRIL – Bekas senator, Mohamad Ezam Mohd Nor dijangka akan menyertai parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam masa terdekat bagi membantu mengukuhkan politik Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden parti.

Menurut sumber yang dihubungi SuaraTV berkata, Wan Azizah telah mengadakan perjumpaan dan beberapa perbincangan dengan Ezam berhubung perkara itu.

“Apa yang saya boleh katakan ketika ini, kak Wan (Wan Azizah) telahpun mengadakan perbincangan bersama Ezam dan satu pelan sedang dirangka untuk membawanya kembali bersama PKR.

“Setakat ini hasil perbincangan amat positif dan Ezam dikatakan telah bersetuju untuk membantu mengukukuhkan sokongan politik kak Wan di dalam PKR yang semakin merosot, malah Ezam baru-baru ini juga dilihat semakin ‘garang’ menyerang pentadbiran Najib dan itu merupakan sebahagian daripada strategi yang diatur,” katanya sebentar tadi.

Ezam sebelum ini melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Negara yang disandangnya sejak 2010 apabila dilantik sebagai Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan berkuat kuasa 15 Mac 2014.

Namun sejak 1 April lalu, Ezam tidak lagi berkhidmat dengan Kementerian Kewangan, walaupun kontraknya masih berbaki sehingga tahun depan.

Menurut sumber yang enggan mendedahkan identitinya itu juga, antara peranan dan tanggungjawab Ezam ialah mewujudkan ‘check dan balance’ di dalam parti yang ketika ini sedang didominasi oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali

“PKR ketika ini sedang dikuasai oleh Azmin dan orang-orangnya dan perkembangan itu dilihat sangat bahaya untuk politik Kak Wan.

“Azmin telah mengunakan kesempatan sebagai Menteri Besar Selangor untuk mengukuhkan kedudukkan politiknya sekaligus menyebabkan pengaruh Kak Wan semakin lemah” katanya lagi.

Bekas Ketua Pemuda PKR itu meninggalkan parti pada tahun 2007 kerana hilang keyakinan terhadap bekas bosnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menyertai semula Umno pada tahun 2008.

Selepas tempoh beliau sebagai senator berakhir pada 2014, beliau kini berkhidmat sebagai Pengerusi Hisbah Centre For Reform.

Pihak kami masih sedang berusaha untuk menghubungi Ezam bagi mendapatkan maklumbalas berhubung perkara ini. – SuaraTV






KONTROVERSI- EZAM DIDATANGI SAIFUL UNTUK BERJUMPA.....DAN IANYA BERLALU BEGITU SEHINGGA EZAM MERAJUK GARA-GARA SIAPA LAMBAT ATAU CEPAT APABILA  BERBINCANG DENGAN ANWAR.


Anwar Terpenjara Kerana Dosa Ezam – Chegubard
wan azizah azmin ezam
KUALA LUMPUR – Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin menggesa bekas senator, Mohamad Ezam Mohd Nor memberi penjelasan terbuka terlebih dahulu sebelum kembali menyertai parti Keadilan Rakyat (PKR).

Badrul atau dikenali sebagai Chegubard ketika dihubungi berkata, walaupun PKR ketika ini memerlukan ‘ikon’ baharu bagi mengantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun itu tidak bermaksud Ezam layak untuk mengisi kekosongan tersebut.

“Saya tidak nafikan, PKR ketika ini memerlukan ‘ikon’ yang kuat untuk meneruskan perjuangan menentang UMNO/BN (Barisan Nasional) namun itu tidak bermaksud kami telah melupakan dosa beliau (Ezam) terhadap Anwar.

“Malah tindakannya yang meninggalkan parti (PKR) dan terlibat secara langsung dalam kes ‘fitnah liwat 2’ masih terkesan hingga kini, kita jangan lupa Anwar terpenjara disebabkan ‘dosa’ Ezam itu.

“”Malah saya dimaklumkan dia antara orang yang pergi berjumpa dengan saiful dan turut memainkan peranan tersebut,” katanya sebentar tadi.

Chegubard turut mengakui walaupun Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memerlukan ‘panglima perang’ untuk menghakis kekuatan politik Datuk Seri Azmin Ali, namun gerakan untuk membawa Ezam kembali ke dalam PKR adalah satu tindakan yang tidak kena.

“Saya tidak nafikan secara keseluruhan wujudnya permasalahan di dalam PKR antara kem Wan Azizah dan Azmin namun pada saya ia merupakan masalah dalaman parti.

“Ia juga tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk menerima Ezam begitu sahaja kerana pada saya apa yang penting dia perlu terangkan terlebih dahulu mengenai tindakan dan kerosakkan yang pernah dilakukan dahulu,” ujarnya lagi.

Terdahulu sumber SuaraTV mendedahkan, Ezam dijangka akan kembali menyertai PKR dalam masa terdekat bagi membantu mengukuhkan politik Wan Azizah sebagai presiden parti.

Malah sumber itu turut menjelaskan Wan Azizah telah mengadakan perjumpaan dan beberapa perbincangan dengan Ezam berhubung perkara itu. – SuaraTV

No comments: