Sunday, April 10, 2016

Apabila Pakatan Harapan tambah kerusi di Sarawak, ia adalah kemenangan rakyat Bumi Kenyalang, Malaysia


Lim Kit Siang
PETALING JAYA, 10 APRIL: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, menyeru seluruh rakyat negeri Sarawak supaya berganding bahu dan menggembleng tenaga bersama Pakatan Harapan untuk mencapai tiga objektif utama bagi menghadapi pilihanraya negeri Sarawak Ke-11.
Tiga objektif utama itu adalah kemenangan untuk Pakatan Harapan, kemenangan untuk Sarawak dan kemenangan untuk Malaysia.
“Dengan objektif ‘kemenangan untuk Pakatan Harapan’ saya tidak bermaksud bahawa Harapan akan menawan kerajaan negeri Sarawak.
“Apa yang dimaksudkan adalah Pakatan Harapan berjuang untuk PRN Sarawak dalam satu unit, dan memperbaiki prestasi pembangkang pada PRN Sarawak yang lalu,” katanya kepada hadirin dalam satu majlis pertemuan pemimpin DAP bersempena PRN Sarawak Ke-11 di sini hari ini.
Walaupun Barisan Nasional dilihat mampu mengekalkan pentadbiran di Sarawak, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, adalah penting untuk Pakatan Harapan dan DAP khususnya, mengekalkan prestasi sedia ada serta mendekati lebih ramai kaum Dayak di negeri itu.
“Terdapat dua bahagian dalam perjuangan untuk Sarawak, pertama ia adalah mengenai kemampuan kita (DAP) untuk mempertahankan 12 kerusi yang ada.
“Dan kedua, sama ada kita mampu untuk mencapai kejayaan besar di kawasan-kawasan yang majoritinya penduduk Dayak,” katanya.
Beliau menjelaskan, Sarawak amat memerlukan sebuah gabungan pembangkang yang kuat sebagai satu sistem semak dan imbang kepada pentadbiran negeri berkenaan yang bertujuan untuk membendung sebarang masalah melibatkan salah guna kuasa dan penyelewengan.
Justeru, menurut Kit Siang, rakyat negeri Sarawak perlu menafikan dua pertiga majoriti Barisan Nasional menerusi PRN Sarawak Ke-11 akan datang bagi memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk menjadi sebuah gabungan pembangkang yang utuh serta menjaga kepentingan rakyat negeri berkenaan. – Roketkini.com

Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers