Monday, March 14, 2016

Selamatkan Malaysia: Berbuat sesuatu lebih baik daripada tidak buat apa-apa


komentar rkini
Hari yang indah, keliru dan pilu.
Hari ini 8 Mac adalah Hari Wanita Sedunia. Hari ini juga genap dua tahun hilangnya pesawat MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal, dan ia masih menjadi satu misteri besar di abad ini.
Di sebalik kesedihan itu, masih ada ruang untuk menepuk dada tanda sedikit lega. Kerana hari ini juga hari ulang tahun tsunami politik 2008 dalam Pilihan Raya Umum ke-12 di mana pengundi Malaysia membuat kejutan dengan menyingkirkan Barisan Nasional dari lima negeri, dan menafikan majoriti dua pertiga Parlimen.
Era Pakatan 2008 – 2013 (selain rampasan kuasa oleh BN di Perak) menonjolkan kemampuan kerajaan negeri “pembangkang” di Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Kelantan dan Perak (sehingga awal 2009) untuk membangunkan negeri.
Malah, di beberapa negeri Pakatan Rakyat, ia lebih baik daripada kebanyakan negeri tadbiran BN. Buktinya bukan angkat bakul Pakatan tetapi bersumber daripada laporan Ketua Audit Negara sepanjang tempoh berkenaan.
Namun, kejayaan pentadbiran pasca-PRU12 gagal dipertahankan oleh watak-watak utama politik apabila mereka mula bertikam lidah selepas PRU 2013. Walaupun BN juga mengalami krisis dalaman, media yang dikuasai BN seperti TV, radio dan akhbar hanya menyebarkan dakyah tentang kelemahan Pakatan tetapi menutup kemelut UMNO-BN.
Dengan itu, Pakatan Rakyat mati tak berkubur (walau serpihannya masih wujud di Selangor dalam keadaan yang unik) pada 2015. Maka hidup pula gabungan baru atas nama Pakatan Harapan.
Ini meresahkan jutaan akar umbi pembangkang yang sedar bahawa sementara pimpinan mereka bertelagah, BN semakin teruk dilanda skandal kewangan, semakin kuku besi menutup ruang kebebasan, semakin mempermainkan agama dan kaum untuk mempertahankan kuasa mereka.
Dalam kegelisahan itu, ada sesuatu yang tidak disangka pula berlaku.
Kebobrokan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak seolah-olah menjadi pencetus kepada perpaduan pembangkang seperti Lim Kit Siang (DAP), Azmin Ali (PKR), Mohamad Sabu (Amanah) dan Mustafa Ali (PAS) serta disokong Datuk Seri Anwar Ibrahim; malah, membawa bersama suara NGO, aktivis, pemimpin politik BN dan rakyat keseluruhannya.
Ini kerana Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin UMNO yang dimangsakan parti sendiri seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Paduka Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Shafie Apdal sudi bersama pembangkang untuk memulakan usaha menyingkirkan Najib secara sah.
Lebih dari itu, aktivis seperti Datuk Ambiga Sreenevasan, Maria Chin Abdullah, Hishamuddin Rais dan ramai lagi sudi bersama orang-orang UMNO itu untuk membuka lembaran baru untuk Malaysia.
Bayangkan musuh politik boleh duduk bersama pada 4 Mac lalu untuk menandatangani Deklarasi Rakyat atau Citizens Declaration yang mempunyai empat matlamat asas:
1. Menyingkirkan Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan;
2. Menyingkirkan semua mereka yang bersekongkol dengannya;
*3. Memansuhkan semua undang-undang dan perjanjian baru yang jelas melanggar hak asasi yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih; dan
4. Memulihkan integriti institusi yang telah dilemahkan, seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC).
Ini sekadar langkah permulaan. Tiada siapa tahu bagaimana akhirnya nanti. Sudah tentu ada yang suka, ada yang benci, dan ramai pula yang mengakui terpaksa menerima hakikat ini walau hati berat dengannya.
Seperti kata Kit Siang: “Ia sesuatu yang patut dicuba. Belum tahu gagal atau tidak. Lebih baik kita cuba daripada tidak buat apa-apa.”
Sudah tentu pelbagai fitnah dan pembohongan akan terus dilemparkan. Cuma kali ini, mungkin penyebar fitnah menghadapi “sedikit” masalah kerana Deklarasi Rakyat bukan milik Pakatan Harapan atau Pakatan Rakyat atau mana-mana parti.
Deklarasi Rakyat milik semua yang mahukan perubahan, dan ini termasuk tokoh besar UMNO/Melayu seperti Dr Mahathir dan Muhyiddin.
Memang deklarasi itu tidak sempurna. Ia bukan kendi ajaib yang boleh menurunkan Najib esok atau minggu depan. Ia bukan boleh menamatkan penguasaan BN serta-merta. Ia penyambung perjalanan yang telah dimulakan sejak lama dulu.
Namun, ia adalah satu langkah baru untuk membawa Malaysia ke arah demokrasi yang sebenar, peluang ekonomi yang lebih adil, ruang pendidikan yang lebih terbuka, dan mungkin juga muhibbah yang selama ini dipencilkan atas nama kaum dan agama.
Walaupun tidak sempurna, rasanya ia lebih baik daripada sekadar syok sendiri menyalahkan orang lain yang mahu mencuba membawa perubahan, walau sekecil mana usaha itu. – Roketkini.com
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers