Langkah politik terakhir Dr Mahathir?





"Lewat petang Jumaat ini nanti, bekas perdana menteri paling lama berkhidmat dan paling banyak jasanya kepada negara akan mengadakan sidang media bersama musuh politiknya, demi hendak memaksa perdana menteri sekarang berundur dan meletakkan jawatan.

Khabarnya Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mengadakan beberapa pertemuan dengan tokoh masyarakat sivil dan pemimpin parti pembangkang kerana beliau secara tulus ikhlas 'sudah tidak tahu hendak buat apa lagi'.

Pemimpin pembangkang juga nampaknya berlapang dada dengan tawaran Dr Mahathir itu dan bersetuju untuk menyertai sidang medianya nanti.

Naib Presiden PKR yang juga anakanda kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah Anwar dilaporkan semalam sebagai berkata langkah yang diambil 'bukan isu peribadi, bukan isu dendam, dan marah'.

Bahkan Nurul Izzah berkata penggabungan dengan Dr Mahathir ialah tentang 'bagaimana untuk merungkai permasalahan dan skandal yang melanda Malaysia menerusi langkah konkrit untuk menjalankan dan melaksanakan reformasi'.

Nampaknya Dr Mahathir akan terus diasak sehingga tersudut, hatta menanggung sendiri agenda reformasi antara 2 pundak tuanya.

Selasa lalu, saya menulis mengenai dua jalur pemikiran tentang bagaimana kita harus menanggapi tawaran kerjasama daripada Dr Mahathir.

Saya beri penekanan tentang bagaimana liciknya beliau sebagai seorang ahli politik yang sudah begitu lama bersilat dan mengalahkan habis semua musuhnya.

Datuk Seri Najib Razak, barangkali sebagai musuh terakhirnya sebelum bersara daripada politik, nampaknya memerlukan kesaktian tahap tinggi untuk ditewaskan hatta terpaksa meminjam kaliber dan pengaruh pihak lain termasuk lawan politiknya sejak azali, antaranya tidak lain Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Benarlah kata-kata mendiang Karpal Singh, tidak ada kawan atau musuh yang kekal dalam politik. Bagi Dr Mahathir yang sudah begitu terdesak dan hilang punca, kalau terpaksa bersekutu dengan Kit Siang demi melengser Najib, maka bersekutulah.

Untuk siapa genta bergema

Semalam, Ketua Umno Bahagian Pagoh yang dahulunya dikenali sebagai timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk ke sekian kalinya menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mempunyai cukup bukti untuk mendakwa Najib.

Beliau memberi penekanan sekiranya tidak wujud bukti yang cukup dan kukuh, Panel Penilaian Operasi SPRM tidak akan mencadangkan supaya kertas siasatan terhadap perdana menteri dikemukakan semula kepada peguam negara bagi tujuan menjalankan pendakwaan.

Muhyiddin sudah lebih daripada sekali menyatakan beliau ditunjukkan bukti tentang aliran wang ke akaun peribadi suami Datin Seri Rosmah Mansor, tidak lain mantan peguam negara sendiri Tan Sri Abdul Gani Patail.

Selasa lalu, sambil menanti tindakan saman, akhbar The Wall Street Journal sekali lagi membuat pendedahan tentang tuduhan korupsi terhadap Najib, yang bukan setakat disiasat pihak berkuasa dalam negara, bahkan sedang disiasat pihak-pihak berkuasa di beberapa negara lain.

Pendedahan terbaru itu memetik sumber siasatan antarabangsa yang mendakwa percaya Najib menerima lebih AS$1 bilion yang bersumberkan syarikat dana bermasalah negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang diubah-alih berkali-kali entiti berbeza di luar negara.

Sekiranya Najib itu bukan perdana menteri negara ini, maksudnya beliau perdana menteri negara lain, sudah lama beliau meletakkan jawatannya tanpa perlu disuruh-suruh kerana berat rasa malu yang ditanggung.

Namun barangkali kerana begitu yakin apa yang dilakukannya betul dan tidak perlu malu melakukan perkara betul, maka beliau kekal di situ, dan disokong kuat para pengampu.

Bontot Najib sudah melekat kuat dengan kerusi empuk pejabat perdana menteri, dan hampir tidak ada kuasa yang akan mampu mengumpil bontot tersebut daripada kerusi miliknya; biar apa pun yang terjadi.

Lagikan Dr Mahathir keluar Umno pun Najib tidak goyang, ini kan pula sekiranya bersekutukan pembangkang.

Najib sesungguhnya tidak akan goyang, biar apa pun yang Dr Mahathir lakukan. Dan tidak ada apa yang boleh Dr Mahathir lakukan untuk membikin Najib goyang.

Sebenarnya apa sahaja yang boleh dibuat kartel Dr Mahathir bagi memaksa pelengseran Najib? Apa sahaja usaha Dr Mahathir yang belum diusahakan orang lain?

Bikin usul tidak percaya, usul pun tidak temukan cahaya matahari. Mahu dituntut letak jawatan dari jalan raya, diberi ancaman keras pihak keselamatan negara.

Mahu digagalkan belanjawannya, majoriti masih dipegang koalisi yang diketuainya. Malah mahu didakwa atas salah laku, dengan peguam negara sekali digantinya.

Jadi sambil kita menanti langkah politik terakhir Dr Mahathir petang nanti. Mari sama-sama kita fikirkan sebenarnya orang tua ini hendak buat apa?" - Izmil Amri, 4 Mac, 2016 ‪#‎tmi_voices‬
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments: