Friday, March 4, 2016

DAP gesa Petronas pertimbang semula keputusan untuk buang 1,000 pekerja


Teo_Nie_Ching_16072013_620_412_100
KULAI, 4 MAC: Petronas perlu menimbang kembali keputusannya untuk menamatkan perkhidmatan hampir 1,000 pekerjanya di bawah rancangan penstrukturan semula kerana ia akan memburukkan ekonomi keluarga serta menambah masalah pengangguran.
Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching, berkata tindakan Petronas tidak wajar kerana syarikat milik kerajaan itu patut mengambil langkah alternatif, dan bukan menjadikan pekerja sebagai mangsa, untuk terus berdaya saing ketika kejatuhan harga minyak mentah dunia hari ini.
“Apa yang dilakukan Petronas itu terlalu drastik dan bakal memberi kesan buruk kepada ramai pekerja. Sepatutnya Petronas cari alternatif lain seperti melakukan penjimatan dan pengurangan bonus kepada kakitangan, bukan bertindak membuang pekerja.
“Semasa harga minyak tinggi sebelum ini, Petronas sepatutnya mengambil langkah berhati-hati dengan menjimatkan perbelanjaan. Situasi melanda Petronas hari ini amat sesuai dengan bidalan ‘disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari,” katanya kepada Roketkini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai mengulas pengumuman Petronas baru-baru ini bahawa syarikat itu akan menghentikan perkhidmatan hampir 1,000 pekerjanya di bawah rancangan penstrukturan semula dalam tempoh enam bulan akibat penurunan harga minyak mentah dunia dan kelembapan ekonomi negara.
Sementara kakitangannya akan dibuang, Petronas mengumumkan pula bahawa ia akan terus membayar RM16 bilion dalam bentuk dividen kepada Kerajaan Persekutuan walaupun harga minyak mentah dunia kian rendah.
Menurut Nie Ching, Kerajaan Persekutuan dan Petronas patut menjangkakan kejatuhan harga minyak mentah itu dan tidak harus terlalu bergantung kepada sumber minyak negara.
“Sampai bila kerajaan mahu bergantung kepada sumber minyak sahaja. Kita tahu sumber itu pasti habis satu hari nanti.
“Kerajaan dan Petronas sepatutnya meneroka dan mencari alternatif lain bagi menjana pendapatan tambahan negara, lebih-lebih lagi dalam kelembapan ekonomi seperti hari ini,” katanya. – Roketkini.com
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers