PKR pertahan dakwaan Tabung haji bantu TH Heavy Engineering

PKR pertahan dakwaan Tabung haji bantu TH Heavy Engineering

PKR pertahan dakwaan Tabung haji bantu TH Heavy Engineering


PKR hari ini tetap bertegas dengan dakwaan terdapat jaminan korporat Lembaga Tabung Haji (TH) kepada syarikat bersekutunya TH Heavy Engineering Bhd (THHE).
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli juga berkata beliau terkejut dengan penafian “bulat-bulat” bahawa TH memberi jaminan itu dan menafikan risiko kerugian RM1.4 bilion.
Dalam kenyataan medianya, anggota parlimen Pandan turut melampirkan salinan sepucuk surat didakwa daripada kerajaan kepada pegawai kanan TH pada 8 Disember 2015 berkaitan perkara itu, yang berjumlah sehingga AS$228.2 juta.
Beliau mendakwa kerajaan meluluskan permohonan itu, yang tertakluk kepada beberapa syarat digariskan.
“Saya kecewa kerana sikap pengurusan tertinggi Tabung Haji masih lagi mahu menyembunyikan perkara sebenar dari berterus terang sedangkan banyak dokumen-dokumen telah pun bocor kepada orang ramai,” katanya.

TH semalam turut menafikan tuduhan bahawa pelaburan TH dalam THHE akan mengalami kerugian sebanyak RM1.4 bilion dan menyifatkannya tidak berasas.

Katanya sebagai pemegang saham terbesar dalam THHE, yang bergiat dalam industri minyak dan gas, TH memahami sepenuhnya pelbagai cabaran industri tersebut, lapor Bernama.

TH juga meminta orang ramai agar tidak mudah percaya terhadap tuduhan-tuduhan berdasarkan dokumen yang dipaparkan di laman sosial.

Rafizi hari ini membangkitkan sama ada bantuan kewangan itu diubah dan distrukturkan semula dalam bentuk lain yang kurang kontroversi seperti pegangan saham, pinjaman atau instrumen kewangan lain.

No comments: