Pekerja Bangladesh: Kenyataan bercanggah menteri kelirukan rakyat



Lip Eng

KUALA LUMPUR 21 FEB: Kerajaan UMNO Barisan Nasional (BN) digesa berhenti mengelirukan rakyat dengan memberi kenyataan bercanggah berhubung isu kemasukan 1.5 juta pekerja asing warga Bangladesh ke negara ini.
Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata ia menunjukkan tahap kecekapan pemimpin kerajaan BN kian membimbangkan sehingga bertindak membuat penjelasan bercanggah kepada rakyat.
Dua menteri yang ada PhD pun tidak dapat menentukan apakah angka sebenarnya. Tahap kecekapan mereka kian membimbangkan.
Kabinet mesti memberi kata putus dan menjelaskan angka manakah yang betul? 1.5 juta ke Malaysia atau untuk dihantar ke 139 negara? Atau adakah Malaysia membolot kuota 139 negara?” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot pagi tadi yang menafikan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi sebelum ini bahawa seramai 1.5 juta pekerja asing akan dibawa masuk dalam masa tiga tahun.
Richard menyatakan jumlah 1.5 juta itu merujuk kepada pekerja berdaftar dengan kerajaan Bangladesh untuk dihantar ke 139 negara yang memerlukan khidmat mereka, bukan ke Malaysia semata-mata.
“Menteri yang didapati membuat kenyataan salah berhubung isu 1.5 juta tenaga kerja Bangladesh itu wajar meletak jawatan dan meminta maaf kerana mengelirukan rakyat selama 8 bulan.
“Malah, kurang 24 jam selepas penandatangan perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan Bangladesh, Zahid pula mengumumkan kerajaan telah membekukan kemasukan 1.5 juta pekerja asing itu tadi.
“Ia jelas membuktikan kerajaan Barisan Nasional tidak berpegang kepada janji mahupun tahu menghormati kontrak,” katanya.

No comments: