NAJIB DIMALUKAN OLEH ARAB SAUDI, MASIH BERWIBAWAKAH KEPUTUSAN PEGUAM NEGARA?

Semasa kecil, kita tentunya biasa dipesan oleh ibu bapa, guru-guru atau orang tua-tua agar jangan sesekali bercakap bohong kepada sesiapa pun jua.

Jika kita didapati melakukan sesuatu kesalahan pula, perkara pertama yang diingatkan ialah agar segera bercakap benar dan tidak terus berbohong.

Kalau tidak salah, berkatalah tidak salah, manakala jika salah, mengaku dan berterus-terang sajalah.

Berbohong atau bercakap bohong bukan saja dianggap dosa dan perbuatan tidak baik, bahkan selalu diingatkan bahawa bagaimana sekali pun cuba berbohong, ia pasti akan terdedah akhirnya walaupun setelah dicuba beberapa lapis pembohongan lainnya.

Dikatakan bahawa apabila kita berbohong dan cuba menutupnya  setelah ianya terdedah, kita akan terus berbohong lagi dan lagi sehingga akhirnya terjerat sendiri.

Peribahasa moden juga ada mengingatkan bahawa kita tidak mungkin dapat menipu semua orang dalam semua keadaan.

Pendeknya, pembohongan tidak mungkin ada tempat yang selesa di dunia ini, apatah lagi di akhirat nanti.

Barangkali inilah yang hampir-hampir ada persamaan dengan isu derma RM2,600 juta yang masuk ke akaun bank peribadi Najib Razak.

Mula-mula wang itu dinafikan, diancam mahu disaman, dikatakan tidak mungkin Najib begitu bodoh membenarkan wang sebegitu banyak dimasukkan ke akuan peribadinya dan segala macam bentuk penafian lainnya.

Kemudian apabila hakikat kebenaran berkaitan wang itu sukar dinafikan, ia diakui sebagai derma politik, hak Najib menerima sumbangan daripada mana-mana pihak, untuk memerangi keganasan,  mengalahkan DAP, sumbangan kerana memperjuangkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan lain-lain lagi.

Ia juga dikatakan untuk membiayai politik UMNO yang mana segala halnya memerlukan wang dan Najib selaku Presiden UMNO dikatakan hanyalah pemegang amanah saja kepada duit tersebut.

Ketika Peguam Negara, Apandi Ali mengumumkan hasil siasatan yang membersihkan nama Najib daripada semua pertuduhan jenayah berkaitan wang itu, diumumkan juga wang tersebut diterima daripada keluarga Diraja Arab Saudi dan sejumlah RM2,030 juta sudah pun dipulangkan kerana ia tidak digunapakai.

Siapa keluarga Diraja Arab Saudi yang menderma itu tidak pernah didedahkan, kecuali media-media antarabangsa mengatakan paling mungkin ianya ialah Raja Abdullah yang mangkat pada Januari 2015 lalu.

Kesimpulannya, oleh kerana wang itu adalah derma dan sudah pun dipulangkan sebahagian besar daripadanya, maka Najib dianggap tidak bersalah apa-apa serta bersih sebersih-bersihnya oleh Peguam Negara.

Tetapi hari ini semuanya bagaikan terdedah apabila Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir menolak tanggapan bahawa wang yang pernah masuk ke akuan peribadi Najib itu suatu bentuk derma atau daripada kerajaan negara tersebut.

Sebagaimana yang dilaporkan oleh New York Times, Adel Al-Jubeir menegaskan, wang itu adalah daripada warga persendirian Saudi dan diberikan kepada satu pelaburan di Malaysia.

Sekarang apa sudah jadi?

Siapa yang dilihat berbohong dan tidak berkata benar?

Oleh kerana ia bukan derma, pelaburan untuk apa wang sebanyak RM2,600 juta itu dan mengapa ia dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib?

Jika benar ia dipulangkan pula sebagaimana yang diakui oleh Apandi Ali, mengapa hanya  RM2,030 juta saja dikembalikan? Apa jadi dengan yang selebihnya?

Lebih ingin diketahui ialah bagaimana dengan keputusan Peguam Negara yang membersihkan nama Najib kerana percaya wang tersebut adalah derma dan sebahagiannya besarnya sudah dikembalikan?

Dengan pengakuan Menteri Luar  Arab Saudi sendiri bahawa wang tersebut bukan derma, masih berwibawakah keputusan Peguam Negara itu?

Apakah ini antara sebab-sebab mengapa Peguam Negara mengarahkan SPRM menutup terus siasatan terhadap Najib dan tidak memberi laluan untuk undang-undang bersama atau MLA digunakan yang membolehkan dokumen-dokumen di luar negara berkaitan pengaliran wang itu diperolehi?

Akhirnya, inilah akibatnya apabila mengabaikan pesanan ibu bapa, guru-guru atau orang tua-tua mengenai perbuatan berbohong yang tentunya semua orang pernah menerimanya semasa kecil-kecil dulu. (SH 06/02/2016).

No comments: