Najib bersikap diktator kukuhkan cengkaman politik


SUFI2771
KUALA LUMPUR 6 FEB: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semakin menunjukkan sikap kediktatorannya walaupun dihujani pelbagai skandal apabila berjaya ‘memaksa’ Datuk Seri Mukhriz Mahathir meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berpendapat peletakan jawatan itu suatu lagi kemenangan kepada Najib walaupun sepatutnya Perdana Menteri itu berasa tergugat akibat pendedahan pelbagai skandal melibatkan dirinya.
Kejayaan itu, katanya, menjadikan kemenangan Najib ke atas musuh politiknya dalam tempoh enam bulan lepas dianggar berjumlah ‘10-0’ antaranya:
  • Memecat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
  • Pemecatan Tan Sri Gani Patail sebagai Peguam Negara.
  • Melambatkan siasatan Pasukan Petugas Khas berkenaan skandal 1MDB.
  • Penangkapan, pemindahan serta-merta atau ugutan terhadap pegawai-pegawai utama dalam Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ingin melanjutkan siasatan terhadap skandal mega berkembar Najib tanpa rasa takut atau pilih kasih.
  • Mensabotaj siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Parlimen ke atas 1MDB.
  • Mengambil ringan arahan Raja-Raja Melayu pada 6 Oktober 2015 yang menggesa kerajaan agar melengkapkan siasatan 1MDB “secepat mungkin” dan mengambil “tindakan tegas sesuai” terhadap semua yang didapati terlibat.
  • Kegagalan UMNO untuk menjatuhkan Najib melalui akuan bersumpah ahli-ahli Parlimen.
  • Pelanggaran perjanjian yang dibuat Najib bahawa skandal mega kembarnya akan diselesaikan pada akhir tahun lepas, sedangkan kedua-dua skandal ini menjadi lebih besar dan lebih antarabangsa pada 2016.
  • Peguam Negara melepaskan Najib daripada sebarang salah laku atau jenayah dan tiada tindakan akan dikenakan ke atasnya dalam kedua-dua skandal derma RM2.6 bilion dan skandal SRC International RM42 juta.
“Ia satu paradoks besar dalam politik Malaysia, Najib nampaknya semakin kuat dan lebih kuat walaupun dipalit skandal demi skandal,” katanya pada kenyataan media hari ini.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyifatkan peletakan jawatan Mukhriz berlaku atas paksaan pihak tertentu kerana beliau hanya memerlukan sokongan empat ahli wakil rakyat UMNO BN.
“Wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berjumlah 36 orang, dengan wakil pembangkang seramai 15. Justeru, beliau hanya memerlukan sokongan tiga lagi wakil UMNO BN selain dirinya untuk mendapat majoriti undian dalam dewan.
“Jika Bashah hanya mendapat sokongan 17 orang, kumpulannya tidak mampu mendapat majoriti bagi memaksa peletakan jawatan Mukhriz sebagai Menteri Besar.
“Jadi, jika UMNO BN mahu menjatuhkan Mukhriz, ia mesti secara kolektif menguasai 18 undi, kerana dalam keadaan seri 18-18, Speaker akan dapat mengundi memihak kepada Bashah,” katanya. -Roketkini.com

No comments: