Modul baharu JPA rugikan bakat muda negara


yeo_bee_yin
KUALA LUMPUR 28 FEB: Kerajaan UMNO BN digesa menyemak semula keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menukar modul biasiswa kepada pinjaman boleh ubah jika peminjam bekerja di sektor kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Menyifatkan ia tidak masuk akal, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Damansara Utama, Yeo Bee Yin, berkata tindakan JPA yang hanya membenarkan 100 peratus pinjaman penuh dikecuali jika seseorang itu bekerja dalam sektor kerajaan, merugikan bakat tenaga muda.
“Peranan sektor swasta sama penting dengan sektor kerajaan. Untuk keluar dari kepompong gaji-kelas pertengahan, ekonomi Malaysia harus pantas berubah kepada pengetahuan-intensif dan ekonomi berteraskan inovasi.
“Mengikut sistem baharu JPA, kita akan membiarkan pelajar JPA yang berbakat, yang mungkin melakukan penyelidikan hebat dan membolehkan ia dikomersial, terpaksa membayar balik biasiswa itu disebabkan dia memulakan perniagaan, bukannya bekerja di sektor swasta,” katanya.
Mengikut model baharu itu, pelajar yang bekerja di sektor kerajaan 100 peratus pengecualian bayaran balik pinjaman, manakala mereka yang bekerja di sektor GLC perlu membayar 50 peratus manakala yang bekerja di sektor swasta terpaksa membayar keseluruhan pinjaman.
Bee Yin berkata, model itu harus disasar kepada graduan yang mencapai prestasi baik dari segi akademik mahupun bukan akademik kerana ia lebih efektif dan adil berbanding sistem baharu itu, malah tidak merugikan wang pembayar cukai.
“Mengikut polisi baru JPA, pelajar yang memperoleh CGPA 2.8 tetapi tidak bekerja di sektor swasta, dan hanya menunggu untuk sektor kerajaan dapat pelepasan tetapi pelajar yang memperoleh CGPA tinggi tetapi bekerja dalam sektor swasta, terpaksa bayar semula.
“Terma dan syarat pinjaman boleh ubah itu tidak wajar kerana ia akan mengakibatkan wang pembayar cukai digunakan untuk menanggung pelajar tidak berpotensi,” katanya pada kenyataannya hari ini.
Beliau berkata, kewujudan agensi kerajaan, Talen Corp yang melaksanakan program Scholarship Talent Attraction and Retention (STAR) bercanggah dengan tanggungjawab JPA, sekaligus mengakibatkan pembaziran dana kerajaan.
“Sukar dibayangkan, Talen Corp melakukan sebaliknya. Melalui program STAR membantu pelajar tajaan kerajaan untuk bekerja di syarikat sektor swasta “sebagai cara untuk menyumbang balik kepada kerajaan”.
“Tetapi mengapa pula JPA mewajibkan pelajar tajaannya bekerja di sektor kerajaan sedangkan STAR melakukan sebaliknya? Kenapa buat dua kerja? Kenapa rugikan wang pembayar cukai untuk Talen Corp sedangkan JPA boleh melakukannya,” katanya.
Justeru, beliau menggesa kerajaan menyemak semula keputusan itu untuk memastikan setiap bakat muda diberi hak saksama untuk mencapai potensi mereka.
“Untuk Malaysia menjadi berdaya saing di arena antarabangsa, kita harus segera menguruskan bakat yang ada dengan baik,” katanya.

No comments: