Malaysia hilang 7,828 tenaga kerja mahir ke Singapura


ong_kian_ming

KUALA LUMPUR 5 FEB: Malaysia kehilangan tenaga kerja bermahiran tinggi dan profesional apabila seramai 7,828 warganegara Malaysia memilih bekerja dan menjadi warga Singapura sejak 2014, lantas merencat pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara ini.
Sebagai perbandingan, Program Pakar (Returning Expert Programme – REP) dikendali TalentCorp hanya mampu menarik 3,600 profesional Malaysia kembali ke tanah air dalam masa empat tahun.
Menganggap ia menyedihkan, Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming, berkata seramai 7,828 individu terdiri pelbagai kaum itu berbuat demikian kerana peluang pekerjaan dan jaminan lebih baik disediakan di sana.
“Ia sangat menyedihkan kerana mereka individu yang mengambil berat terhadap negara hingga turun mengundi tetapi disebabkan pelbagai faktor, mereka menjadi warga Singapura.
“Majoriti mereka berumur antara 30 hingga 50 tahun, bermakna mereka sedang dalam usia paling produktif untuk bekerja. Ia satu kehilangan buat Malaysia,” katanya pada kenyataan media hari ini.
Kian Ming mendapati 7,828 bekas pengundi Malaysia menjadi warga Singapura selepas memeriksa daftar pemilih yang dilakukannya setiap tiga bulan bagi mengetahui jumlah pengundi baru, penukaran alamat mengundi dan individu yang dikeluarkan daripada senarai.
Pengarah Strategi Pilihanraya DAP Kebangsaan itu berkata, jumlah itu tidak termasuk rakyat Malaysia yang memilih menjadi warganegara selain Singapura dan yang berhijrah sebelum 2014.
“Jumlah itu tidak termasuk mereka yang menjadi warganegara selain Singapura, terutama negara yang kerap menjadi destinasi bekerja warga Malaysia seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Kanada.
“Malah, ia hanyalah jumlah bagi 2014 dan 2015 dan tidak mengambil kira jumlah rakyat Malaysia yang dilucutkan kewarganegaraan sebelum itu,” katanya.
Paling mengecewakan, kata Kian Ming, ialah individu berbakat besar dan berkemahiran tinggi ‘terlepas ke tangan’ negara lain seperti Singapura, padahal mereka asalnya warganegara Malaysia.
“Saya terjumpa nama seorang penerima biasiswa ASEAN yang kini pakar perubatan dalam bidang penyakit berjangkit di hospital kerajaan di Singapura. Kesnya hanyalah serpihan kecil dari lambakan profesional yang berhijrah ke negara lain.
“Mungkin apabila berlaku perubahan kerajaan pada masa akan datang, golongan berkemahiran tinggi ini akan kembali bersemangat menyumbang bakat mereka kepada negara kita,” katanya. -Roketkini.com

No comments: