Sunday, February 28, 2016

Cybertrooper Umno ubah artikel Forbes fitnah Guan Eng


LKS
KUALA LUMPUR, 28 FEB: DAP yang sering kali dijadikan sasaran fitnah oleh media milik UMNO BN, kali ini sekali lagi menjadi mangsa berikutan penyebaran fitnah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang tersenarai kononnya antara 50 individu terkaya di Malaysia.
Mengutuk keras penyebaran fitnah yang jelas berniat jahat itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ia dipalsukan daripada senarai yang disiarkan majalah Forbes dan diubah secara tidak bertanggungjawab untuk memburuk-burukkan Ahli Parlimen Bagan itu.
“Saya melakukan carian pantas dan mendapati ia diubah dari artikel Forbes, 50 Individu Terkaya di Malaysia, dan kesemua senarai itu betul, kecuali di kedudukan ke-22, bukannya Guan Eng, tetapi Lim Wee Chai,” katanya pada kenyataan media semalam.
Menurutnya, Guan Eng tidak tersenarai pun dalam kedudukan itu, malah beliau bukan antara 500 atau 5,000 atau 50,000 orang terkaya di Malaysia, tetapi cybertrooper UMNO sanggup merendahkan martabat mereka sendiri untuk mencipta fitnah keji tersebut.
Malah, katanya, fitnah mereka sama seperti pembohongan kononnya Israel memberi derma RM1.5 bilion kepada DAP untuk membina pangkalan tentera laut di Port Dickson, kononnya ada resolusi DAP untuk menjadikan Malaysia “negara Kristian”, dan kononnya beliau (Kit Siang) berada di Kuala Lumpur dan mengetuai perarakan 13 Mei 1969 – yang mana semua itu tidak berasas dan palsu belaka.
Sehubungan itu, Kit Siang membidas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang didakwa mengamalkan dwi-standard dengan tidak menghiraukan penyebaran bahan palsu seumpama itu walaupun ia jelas satu fitnah yang tidak berasas.
Sedangkan, kata beliau lagi, portal berita The Malaysian Insider (TMI) yang mengeluarkan artikel atau berita yang sahih berkaitan salah laku yang dilakukan pemimpin tertinggi UMNO BN pula dikenakan tindakan keras sehingga menyaksikan laman itu disekat aksesnya.
“Pengalaman DAP dengan SKMM sering mengecewakan, walaupun banyak laporan sudah dibuat kepada SKMM terhadap penyebaran berita fitnah dan berbahaya oleh media milik UMNO, tidak ada sebarang tindakan diambil agensi itu,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai sekatan terhadap TMI, Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, kerajaan seharusnya meraikan kebebasan bersuara dan tidak menyekat amalan demokrasi di negara ini.
“Kerajaan UMNO BN tidak sepatutnya mengambil tugas dengan menentukan untuk rakyat Malaysia apa yang betul, separuh betul, fitnah dan pendapat untuk membuat pengadilan sendiri, sebaliknya harus terus jujur dan setia terhadap jaminan hak Perlembagaan untuk setiap rakyat Malaysia,” katanya. – Roketkini.com
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers