Adun UMNO lepas tembakan cemar nama baik DUN Perak


20160130 gerik
IPOH 1 FEB: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kenering, Datuk Mohd Tarmizi Idris yang dikatakan melepaskan tembakan di Kampung Sungai Papan dekat sini, patut diheret kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Adun Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How berkata ia berikutan perbuatan itu dilakukannya atas kapasti seorang wakil rakyat sekaligus mencemar kemuliaan DUN berkenaan, lebih-lebih lagi kes itu mungkin dikategori sebagai kes jenayah.
“Ketua Siasatan Jenayah Perak, Goh Kong Liang menyatakan Adun itu disiasat mengikut Seksyen 39 Senjata Api 1960,” kata Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) itu pada kenyataan media, semalam.
Sebelum ini, beberapa penduduk kampung membuat laporan di Bahagian Tatatertib di Bukit Aman dibantu Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) selepas dinafi hak membuat laporan di Gerik dan Lenggong.
Ia berikutan Adun dari UMNO BN itu dikatakan melepaskan tembakan ke udara di Kampung Sungai Papan ketika meninjau projek tangki yang dibina orang Asli dengan sokongan DAP menerusi Projek Impian Malaysia.
Dalam membela nasib orang Asli itu, Howard dan Adun Pantai Remis, Wong May Ing turut dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung kejadian berkenaan.
Howard berkata, perbuatan itu menimbulkan pelbagai persoalan termasuk pengakuan penduduk sama ada Tarmizi melepaskan sedas tembakan yang menakut-nakutkan penduduk tanpa sebab munasabah.
“Apakah sebabnya Tarmizi melepaskan tembakan dan adakah pemilikan senapang itu mematuhi lunas undang-undang serta sebahagian hak dan kebebasannya selaku Adun?” katanya.
Tertanya-tanya sama ada Adun itu terlibat dalam menyekat penduduk dari membuat laporan polis di Gerik dan Lenggong, beliau turut mempersoal jika Tarmizi sanggup meminta maaf secara umum kepada mereka, jika dakwaan itu benar.
“Semua persoalan itu wajib dijawab Tarmizi, bukan sahaja bagi membersihkan namanya tetapi juga demi mempertahankan maruah dan kemuliaan DUN Perak,” katanya.

No comments: