75 tahun Lim Kit Siang sebagai Bapa Perpaduan Bangsa Malaysia

kit siang malaysia

75 tahun Lim Kit Siang sebagai Bapa Perpaduan Bangsa Malaysia


BELIAU seorang lagenda yang masih aktif bergerak di kota dan desa tanpa henti, tanpa gentar melacak visi gagasan bangsa Malaysia, Malaysia untuk rakyat Malaysia. Beliau menjadi lagenda kerana namanya sering diratib sepanjang masa di kedai kopi dan media semua peringkat seolah-olah kenal benar dengannya – Lim Kit Siang.
Tokoh yang tidak pernah berehat sepanjang karier politiknya kecuali dua kali direkat dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)..
Hari ini, 20 Februari 2016, ulang tahun kelahiran ke-75 tokoh rakyat itu dan separuh abad perjuangannya bersama Parti Tindakan Demokratik (DAP). Beliau sangat sederhana dalam penampilan apalagi perawakannya, kental, teguh dengan perjuangan dan tak mudah mengaku kalah mempertahan prinsip demokrasi dan sosialisme.
Namun, sepanjang 50 tahun perjuangan politiknya di tanah air, tokoh ini terpaksa memikul beban fitnah sepanjang hidupnya sebagai pejuang rakyat, beliau menjadi mangsa curiga dan seranah segala momokan konon pencetus tragedi 13 Mei 1969.
Hakikatnya, pada saat tragedi itu berlaku di Kuala Lumpur, beliau berada di Kota Kinabalu, Sabah untuk membantu kempen calon bebas di sana.
Apapun, setelah tsunami politik 2008, stigma negatif perkauman yang melingkari beliau dan DAP sebelum ini semakin terhakis dengan kemenangan beberapa calon Melayu dan kemasukan beramai-ramai orang Melayu ke dalam parti itu.
Tidak berlebihan jika dikatakan Lim Kit Siang sesuai dikenali sebagai bapa perpaduan bangsa Malaysia yang wajar mendapat pengiktirafan atas kecekalan dan perjuangan untuk memartabat rakyat melangkaui dinding perkauman, agama, budaya, bahasa, geografi dan suku puak.
Inilah yang sering beliau tekankan dalam setiap ucapan dan kenyataannya; dengan meletak keutamaan kepada negara dan rakyat, selain lantang menelanjang kejahatan demi kejahatan yang dilakukan pemerintah UMNO-BN, menentang segala tindak-tanduk zalim dan salah guna kuasa ke atas kelompok masyarakat dan tanah air.
Saya pasti, jika sosok tubuh Lim Kit Siang ditakdirkan dengan nama seperti Ibrahim Yaakob atau Ahmad Boestamam, beliau akan digelar Hang Jebat, yang pantang berundur dan setia membela sahabat dan masyarakatnya.
Tapi dek kerana kulitnya kuning langsat dan bermata sepet, kita tenggelam dalam hegemoni kaum dan agama yang menjadi alat UMNO-BN melangsungkan hayat mereka.
Sepanjang perkhidmatan bersama Roketkini, saya rasa amat bertuah dan berterima kasih kerana diberi ruang dan peluang berada di dalam organisasi. Di sini, saya mengenali dan mempelajari lebih banyak mengenai parti dan melihat dengan mata kepala ketokohan Lim Kit Siang melalui beberapa program dan jelajah bersama.
Cuma saya sedih, berapa ramaikah orang seperti saya yang boleh berada dalam lingkungan dan kedudukan sekarang? Yang dapat mengenali dan mengikuti dengan dekat apakah yang perjuangkan DAP. Lebih-lebih lagi, dalam usaha untuk membetulkan fakta dan tanggapan  terhadap parti itu. Saya kira, program Sekolah Demokrasi dan Impian Malaysia wadah terbaik bagi rakyat Malaysia khususnya golongan muda untuk mendekati parti dan pimpinannya.
Pada Mac tahun lalu. Saya mengikuti jelajah Impian Sabah untuk melihat projek gotong royong naik taraf jalan kampung di daerah yang pernah disenarai sebagai daerah termiskin di Sabah iaitu di Pitas.
Lima kenderaan kami terpaksa melalui jalan hutan yang ekstrem kira-kira tujuh kilometer untuk sampai ke kampung Dowokon menyebabkan saya mabuk kenderaan dan hampir termuntah. Menariknya kali ini, rombongan kami datang membawa tetamu istimewa, Lim Kit Siang.
Saya kagum bagaimana dalam usia mencecah 74 tahun itu, beliau tetap menggagahkan diri untuk bertemu golongan masyarakat Rungus yang terpinggir di sana, dan ini bukan kali pertama tokoh itu terlibat langsung dalam siri jelajah ke kawasan pedalaman dengan laluan ekstrem dan berbahaya.
Keazaman dan semangat kemanusiaan yang ditunjukkannya begitu menyentuh perasaan saya: “Inilah sosok yang pernah saya dendami dan benci dahulu!”
Malaysia dalam persimpangan terbesar dalam sejarah pasca merdekanya. Saat ini, kita menyaksikan pemberhentian pekerja beramai-ramai, pengabaian layanan saksama Sabah dan Sarawak,  penyusutan sumber dan ruang fiskal negara, pengenalan cukai baharu, peningkatan kos hidup, peningkatan peratusan penghijrahan golongan cerdik pandai ke luar negara, kecelaruan identiti bernegara sebagai sebuah negara sekular, peningkatan fahaman ekstrimisme dalam beragama, ancaman terorisme, pengenalan undang-undang drakonian dan negara menjadi semakin lemah apabila terlibat dalam dua skandal mega terbesar iaitu skandal RM42 bilion 1MDB serta derma RM2.6 bilion, tambah buruk apabila ia turut mengheret kepada ketempangan institusi perundangan dan institusi awam lain.
Dan untuk memberi titik noktah selama-lamanya kepada penderitaan yang ditanggung Malaysia, kita harus berpegang pada idealisme bapa kemerdekaan kita, Tunku Abdul Rahman yang berkata:
 Mulai 31 Ogos 1957, (kita) akan menjadi sebuah negara berdaulat dan demokratik untuk selama-lamanya, yang dibina berdasarkan prinsip kebebasan dan keadilan serta sentiasa memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya.”
Inilah yang selama ini menjadi asas perjuangan DAP dan Lim Kit Siang; yang akan kita perjuangkan sehingga rakyat menang! –Roketkini.com


No comments: