29 April penentu kes qazaf Anwar


29 April penentu kes qazaf Anwar

(Oleh Nadia Hanafi)
KUALA LUMPUR 7 FEB : Mahkamah Syariah menetapkan 29 April depan untuk menentukan permohonan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom diterima atau sebaliknya bagi mengetepikan segala kes qazaf yang dipohon Ketua Umum KEADILAN, saudara Anwar Ibrahim.
Hakim Datuk Seri Dr Md Yusof Che Tha memutuskan demikian selepas mendengar kedua-dua hujah peguam Anwar dan Jamil.
Jamil sebelum ini memohon untuk mengetepikan semakan dan notis rayuan dikemukakan Anwar berhubung kes tuduhan qazaf kerana menyifatkan keputusan hukuman liwat telah diputuskan oleh Mahkamah Sivil.
Namun, dalam masa sama, Anwar juga telah mengemukakan permohonan bantahan awal untuk mengenepikan permohonan bantahan yang dibuat Jamil itu.
Menurut peguam Anwar, Kamar Aniah Kamaruzzaman, mereka mengemukakan bantahan itu kerana isu qazaf perlu dibicarakan di Mahkamah Syariah.
“Pada kami kes liwat dan kes qazaf adalah dua isu berlainan, tidak sama Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.
“Kita nak menegakkan hukum Islam di Mahkamah Syariah, bukan menegakkan hukum syariah di Mahkamah Sivil,” jelasnya.
DSAIBagaimanapun hakim hari ini membuat keputusan untuk menggabungkan kedua-dua kes itu dan diputuskan pada 29 April nanti.
Kamar Aniah berkata, beliau dan peguam lain yang mewakili Anwar menerima keputusan yang dibuat hakim.
Kata beliau, sekiranya mahkamah membenarkan permohonan Jamil pada 29 April nanti, maka kes qazaf itu akan diketepikan.
“Kalau mahkamah benarkan permohonan mereka, maka tidak ada kes. Namun kalau mahkamah menolak, kita akan teruskan dengan rayuan qazaf,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
Anwar juga turut hadir dalam kes ini.
Terdahulu, permohonan qazaf dibuat bagi mendakwa bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari yang gagal mengemukakan empat saksi dalam sabitan pertuduhan kes Fitnah II yang menyaksikan Anwar didapati bersalah di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan dipenjarakan lima tahun pada 10 Februari lalu.

No comments: