Sampai bila mahu tuding jari kepada kaum lain atas kelemahan sendiri?


image (Custom)

YELLOWMANIA anjuran Bersih 2.0 baru sahaja melabuhkan tirai selepas lima hari berkampung di Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) pada minggu lalu. Acara kemuncak Yellow Mania merupakan Yell-O Sound Gig yang dikemudi oleh Adam Adli. Gig itu menampilkan rapper Edry Orpheus, beberapa band tempatan seperti Panklima, Sons of the Soil dan The BangsArt serta penyajak Pyan Habib dan Rahmat Haron.
Persembahan terakhir yang ditonton oleh saya dan rakan-rakan adalah Rahmat Haron ft. Duri. Ya, Rahmat Haron adalah sebab utama kami berdua setia berada di Yell-O Sound Gig dari awal hingga ke akhir. Perkara yang paling melucukan sebaik sahaja Rahmat Haron turun dari pentas utama, kami berdua terus bergegas keluar dari KLSCAH dan berlari ke Stesen Monorel Maharajalela.
Berdasarkan skrin yang tertera di stesen, monorel seterusnya akan tiba dalam masa tiga minit. Ketika menunggu monorel tiba, polis bantuan yang bertugas memberitahu kami bahawa tiada lagi monorel yang akan tiba dari KL Sentral memandangkan jam sudah 11.45 malam.
Jam hampir menginjak 12 tengah malam. Saya telah mengambil keputusan untuk menggunakan perkhidmatan Grabcar. Berdasarkan pengalaman, Grabcar jauh lebih murah dan selamat berbanding dengan teksi kerana aplikasi Grabcar akan memaparkan wajah dan nama pemandu beserta dengan nombor plat kereta.
Jika terjadi apa-apa di luar jangkaan, sekurang-kurangnya saya mempunyai beberapa maklumat mengenai pemandu Grabcar dan dapat memudahkan polis mengambil tindakan yang sewajarnya.
Sepanjang perjalanan dari KLSCAH ke Pandan Jaya yang memakan masa lebih kurang 15 minit, saya dan pemandu itu sempat berbual dan berkongsi beberapa perkara. Saya memulakan perbulan pada malam tersebut dengan “Grabcar ni you buat full-time atau part time?” dan beliau menjawab “Buatpart time maa.”
Oh, perbualan kami tidak berakhir di situ.
“Buat part time maa. Full time kerja siang. Malam I buat Grabcar. Duit sekarang kecil. Nilai kecil. Harga barang semua naik. Gaji maintain, tak naik. I Cina. Susah sikit la. Kena banyak usaha. Kena usaha lebih la. Anak dua orang. Dua-dua sekolah. Nasib baik isteri kerja juga. Boleh la. Cukup-cukup makan.”
Saya terdiam.
“You tinggal mana?”
“I tinggal Kepong. Baru tiga hari buat Grabcar. You customer kelima I malam ni. So far so good la. Kena korban sikit la. Rehat dan anak-anak (waktu rehat dan masa bersama anak-anak pada waktu malam).”
Pertama adalah tentang kenaikan harga barang. Saya, yang masih bujang dan bergaji RM2,000 sahaja tidak mampu untuk menafikan kata-kata beliau. Jika pada hari ini, saya sendiri begitu terkesan dengan kenaikan harga barang, tambang pengakutan awam seperti LRT dan monorel (setiap hari menggunakan LRT dan monorel ke tempat kerja) dan pelbagai lagi kenaikan, bagaimana pula dengan beliau yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak yang masih bersekolah?
Sudah pasti perbelanjaannya lebih besar berbanding dengan saya – yuran sekolah, buku sekolah, duit belanja harian anak-anak dan lain-lain lagi. Jadi, beliau menyahut seruan Datuk Ahmad Maslan iaitu melakukan dua kerja sebagai penyelesaian untuk meneruskan kelangsungan hidup pada waktu nilai mata wang Ringgit yang semakin mengecil.
Perkara kedua yang sangat menarik perhatian saya apabila beliau mengatakan “I Cina. Susah sikit la. Kena banyak usaha. Kena usaha lebih la.” Tipulah kalau saya katakan saya langsung tidak terkesan dengan kata-kata beliau. Beliau seolah-olah cuba menyampaikan kepada saya bahawa bangsa Cina sangat terpinggir di tanah tumpah darah sendiri.
Walaupun bangsa Cina dan India merupakan bangsa minoriti di Malaysia, jangan sesekali kita lupa bahawa mereka juga lahir di negara ini. Apa guna kita melaungkan 1Malaysia kononnya kita berbangga Malaysia mempunyai rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, tetapi dalam masa yang sama kita melaungkan “Apa lagi Cina mahu?”
Tidak cukup dengan mengamalkan perkauman tanpa kita sedar, ditambah pula dengan menyalahkan Cina kerana menguasai ekonomi negara sedangkan Datuk Ahmad Maslan pernah berkata: “Melayu perlu mencontohi kejayaan orang Cina dalam perniagaan. Mereka bekerja keras, bagi kita (orang Melayu). Kadang-kadang, kita bekerja separuh jalan. Jika kita mahu pergi jauh, kita perlu belajar daripada orang Cina” ketika seminar Pematuhan Kualiti Produk di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil pada 13 Mei 2015 (The Malaysian Insider, 13 Mei 2015).
Beliau juga berkata: “Kejayaan orang Cina dalam perniagaan jelas terbukti dalam statistik, daripada 40 orang terkaya di negara ini, lebih 20 berbangsa Cina.”
Saya percaya setiap rakyat pasti mahukan Malaysia yang lebih baik daripada hari ini. Tetapi jika semangat rasisme itu masih menebal dalam diri setiap rakyat, adakah impian untuk melihat Malaysia menjadi lebih baik pada masa akan datang berjaya direalisasikan? Fikirlah.
Tak penat ke asyik menunding jari kepada kaum lain atas kesalahan dan kesilapan sendiri? Sudah-sudahlah. – Roketkini

*Penulis merupakan alumni Sekolah Demokrasi dan aktivis Dapur Jalanan

No comments: