Peguam Negara tiada kuasa tutup kes –Gobind Singh


gobind singh deo
KUALA LUMPUR, 29 JAN: Peguam Negara tiada kuasa mengikut Perlembagaan Persekutuan untuk mengarahkan mana-mana kertas siasatan termasuk kes skandal derma RM2.6 bilion membabit Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ditutup.
Justeru, Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo, berkata sebarang siasatan terhadap skandal berkaitan derma ke akaun peribadi Perdana Menteri itu, sepatutnya boleh diteruskan.
“Merujuk Artikel 145 (3), Peguam Negara diberi kuasa untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan prosiding jenayah. Ia tak nyatakan sebarang kuasa kepada Peguam Negara untuk tutup kes.
“Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kuasa kepada Apandi sebagai Peguam Negara untuk menutup kes,” kata Ahli Parlimen Puchong itu yang juga seorang peguam ketika dihubungi Roketkini, hari ini.
Kata Gobind, semua kes perlu sentiasa dibuka dan pendakwaan boleh membukanya semula pada mana-mana peringkat jika berasa perlu berbuat demikian terutama apabila bukti baru diperoleh.
“Seseorang itu hanya dilindungi jika ia dibebaskan di bawah Perkara 7 Perlembagaan Persekutuan berhubung kes yang serupa,” katanya.
Apandi pada 26 Januari lalu membuat kenyataan bahawa Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan berhubung dua skandal kewangan melibatkan sumbangan derma RM2.6 bilion dan kes SRC International Sdn Bhd hingga membangkitkan kemarahan ramai.
Apatah lagi, tersebar berita Apandi dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji yang kini berdepan kemelut kewangan akibat paras negatif rizab institusi itu sejurus selepas keputusan kontroversi itu dibuat. -Roketkini.com

No comments: