UMNO punca ‘malapetaka’ dan ‘malang’ sepanjang 2015


bersih14
GELANG PATAH 31 DIS: Selepas pelbagai krisis ekonomi mahupun politik akhir-akhir ini, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan 2015 sebagai tahun ‘Annus Horribilis’ bagi negara ini.
Perkataan Annus Horribilis dipetik Ahli Parlimen Gelang Patah itu pada kenyataan media hari, berasal daripada bahasa Latin bagi mengambarkan tahun yang penuh ‘malapetaka’ dan ‘malang’.
Beliau menamakan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), derma RM2.6 bilion, pengenalan Rang Undang-undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN), pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan Perhimpunan Baju Merah, sebagai antara malapetaka itu.
“Dalam tempoh enam dekad sejak tercapainya kemerdekaan pada 1957 dan penubuhan Malaysia pada 1963, Malaysia sudah kehilangan arah tujuan,” katanya.
Kit Siang menyifatkan kerajaan UMNO BN kini jauh lebih teruk berbanding dulu lantaran berlaku kezaliman dengan menggubal akta baharu yang mencabuli hak asasi manusia dan kebebasan bersuara seterusnya mendatangkan ‘malapetaka’ terhadap negara.
Malah, beliau berkata, pimpinan sedia ada dalam UMNO BN langsung tiada inisiatif untuk membaiki kesilapan pemimpin terdahulu seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sedangkan, katanya, Malaysia ketika awal penubuhannya pada 1957 sentiasa dipandang tinggi kebanyakan negara Asia lain, malah menjadi negara kedua pesat membangun selepas Jepun.
“Beberapa dekad kemudian, Malaysia ketinggalan dalam pembangunan ekonomi dan pendidikan. Pada 90-an, Malaysia jauh ditinggalkan gergasi besar ekonomi Asia antaranya Singapura dan Hong Kong,” katanya.
Berharap duduk sama tinggi, berdiri sama rendah dengan dua negara itu, Kit Siang berkata, harapan itu tidak tercapai berikutan krisis ekonomi 1990 yang melanda negara dan menyebabkan rakyat hilang keyakinan dalam membangunkan negara seperti dekad awal penubuhannya.
“Kini, Malaysia dihimpit dengan pelbagai krisis ekonomi, rakyat sudah hilang keyakinan diri,” katanya.
Justeru, beliau mengajak seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik untuk mengembalikan semula keyakinan bagi menjadikan negara ini sebuah negara terbaik di mata dunia.
“Sudah tiba masanya untuk penjajaran semula kuasa politik yang progresif untuk menyelamatkan Malaysia dan menetapkan kepercayaan dengan visi kesatuan, kesaksamaan, kesederhanaan, demokratik dan kemajuan,” katanya.

No comments: