Wednesday, December 23, 2015

SILA BERI JAWAPAN DENGAN IKHLAS..



Kenyataan Media.
 
SIAPA INDIVIDU PAS YANG MAHU PAS BERGABUNG DENGAN UMNO?




1. Kenyataan YB Ust Idris Ahmad, Naib Presiden Pas yang menyeru mana-mana individu Pas yang nak Pas bergabung dengan Umno supaya meninggalkan Pas suatu yang mengejutkan dan merunsingkan ahli-ahli akar umbi Pas. Kenyataan tersebut adalah ekoran daripada kenyataan bertulis beliau ( pandangan peribadi tidak boleh dipakai. Jika ada individu yang hendak bergabung dan teringin dengan Umno, maka individu itu sahaja yang pergi). Contoh nama-nama yang disebut oleh YB Ust Idris yang lari mengikut Umno semuanya adalah bertaraf pemimpin. Ini yang merunsing mereka. Bukan soal bersetuju atau tidak dengan isu Pas bergabung, berkerjasama atau bertahaluf dengan Umno Bn. Tapi kerunsingan mereka kerana dilihat tiada ketentuan haluan masa depan politik Pas dalam nak menghadapi PRU14 dan PRN11 Sarawak.

2. Saya tidak tahu apa tujuan dan maksud daripada kenyataan tersebut. Ramai ahli berpandangan kenyataan tersebut seolah-olah wujudnya usaha pihak-pihak tertentu dalam Pas untuk bergabung, berkerjasama atau bertahaluf antara Pas dengan Umno Bn. Masakan tiada angin pohon bergoyang. Sudah tentu induvidu tersebut bertaraf pimpinan tertinggi Pas dan bukannya ahli biasa. Kalau ahli biasa Pas mereka percaya YB Ust Idris tidak perlu buat kenyataan untuk meminta individu tersebut meninggalkan Pas kerana usaha yang dilakukan oleh individu ahli biasa Pas tidak akan memberi kesan untuk menjadikannya keputusan Parti.

3. Kenyataan YB Ust Idris semacam wujudnya dua pihak dalam kepimpinan Pas sekarang ini. Satu pihak yang hendak bergabung, berkerjasama atau bertahaluf dengan Umno Bn, manakala satu pihak lagi menentang. Saya tidak pasti siapa di kalangan mereka. Tetapi kenyataan YB Ust Idris menjadi bahan perbualan dan perbahasan di kalangan ahli biasa Pas.

4. Saya sendiri dihubungi ahli ahli Pas meminta pencerahan. Saya hanya menjawab saya tiada maklumat apa yang sedang bergolak dalam Pas tentang isu kerjasama Pas Umno. Tetapi ahli-ahli menyatakan wujudnya kenyataan-kenyataan yang pada pandangan mereka berlaku percanggahan terbuka di kalangan Pimpinan. Ditambahkan lagi dengan kenyataan Dato' Takiuddin Hassan, Setiausaha Agong Pas yang menimbulkan pelbagai spekulasi tentang masa depan dan haluan politik Pas.

5. Yang menghairankan mereka lagi ialah kenyataan Naib Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi yang menyatakan ahli Pas yang menentang kerjasama Pas Umno kena akur kepada keputusan majlis Syura Ulamak Pas pusat. Mereka menyatakan bagaimana Zahid bolrh keluar arahan dan boleh tahu keputusan Majlis Syura. Adakah Majlis Syura sudah buat keputusan? Ini yang membingungkan ahli-ahli.

6. Saya percaya kerisauan ahli-ahli Pas dalam isu ini ada asasnya dan bukan soal bersetuju atau menentang kerjasama. Tetapi mereka mahukan ketentuan dan kepastian. Saya percaya mereka boleh menerima keputusan hatta untuk berkerjasama dan bertahaluf dengan Umno Bn. Yang penting bagi mereka ialah keputusan yang pasti. Saya hanya menyatakan kepada mereka bertenang dan bersabar dalam menanti episod seterusnya. Saya percaya semuanya akan berakhir dengan kepastian dan kesudahannya nanti.

YA ALLAH KAU BERILAH KAMI PETUNJUK MU.

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena.
23 Disember 2015/11 Rabiulawal 1437H
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers