MKN ‘raksasa’ kuasai negara tanpa proses Perlembagaan





Aziz Bari
KUALA LUMPUR 14 DIS: Pakar Undang-Undang, Aziz Bari menyifatkan usaha meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai terdesak kerana ingin menguasai negara tanpa melalui proses Perlembagaan.
“‘Raksasa’ yang dicipta kerajaan itu semata-mata untuk mengambil kuasa penuh terhadap kabinet,” katanya sambil menambah, amalan kesetiaan kepada parti, bukannya rakyat antara sebab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong RUU itu diluluskan.
Beliau juga mempersoal RUU itu yang tidak jelas dalam menerangkan secara terperinci mengenai kawasan keselamatan yang menjadi salah satu intipati.
“Siapa berhak untuk menentukan di mana kawasan keselamatan itu? Ia boleh jadi di Parlimen, Dataran Merdeka, ia boleh berlaku di mana-mana,” katanya dalam forum anjuran DAP bertajuk National Security Council Act: To Protes or To Opress di Petaling Jaya, pada 9 dia baru baru ini.
Antara ahli panel lain ialah Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; bekas Pengerusi Bersih 2.0, S Ambiga; peguam, Hanipa Maidin dan pensyarah, Azmi Shahrom.
SUFI4153Berdasarkan RUU, MKN terdiri daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Pertahanan, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ketua Angkatan Tentera, Setiausaha Kerajaan dan Ketua Polis Negara.
RUU dikritik kerana memberi kuasa besar kepada Perdana Menteri dan memberi hak mutlak untuk menangkap sesiapa sahaja tanpa waran jika sesebuah lokasi itu diisytiharkan kawasan keselamatan.
Secara berseloroh, Aziz menyifatkan RUU itu sebagai ‘kreatif’ dan ‘magis’ di tengah-tengah kemelut skandal yang dihadapi kerajaan UMNO BN tetapi sangat berbahaya kepada segenap lapisan rakyat.
“Saya tidak pernah terfikir kita semua akan melalui keadaan seumpama ini. RUU itu sangat berbahaya, ahli parlimen yang mengundi meluluskannya tidak sedar bahayanya terhadap diri mereka sendiri,” katanya.
Menyatakan Dewan Negara dan Yang Di-Pertuan Agong boleh menolak RUU itu tetapi mengakui keberangkaliannya amat tipis, beliau merayu Dewan Negara menangguh pelaksanaan RUU itu bagi membenarkan perbincangan awam.

No comments: