Kerajaan Pulau Pinang beri bonus setengah bulan gaji,termasuk guru tahfiz,KAFA dan berkaitan..


Lim Guan Eng Pulau Pinang
PULAU PINANG 10 DIS: Kerajaan Negeri akan memberi bonus setengah bulan gaji lagi dengan minimum RM700 yang akan dibayar pada 18 Disember 2015, kata Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.
Menyatakan bayaran bonus pertengahan tahun dibuat Jun lalu melibatkan perbelanjaan RM5.22 juta, beliau berkata, pemberian bonus akhir tahun menelan belanja RM5.22 juta, bermakna RM10.44 juta dibelanja bagi pemberian bonus 2015.
Katanya, pemberian bonus itu turut dipanjangkan kepada penyelia dan guru Kelas Al-Quran Dan Fardu Ain (KAFA), guru Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRA), guru Sekolah Menengah Agama Rakyat serta guru dan staf Sekolah Persendirian Cina sebanyak RM300 seorang.
Selain itu,  Setiausaha Agung DAP itu berkata, sejumlah RM200 turut diberi kepada guru tahfiz, guru pondok dan Guru Tadika Islam (TADIS) Negeri Pulau Pinang.
“Kerajaan Negeri berharap pemberian bonus itu sedikit sebanyak meringankan bebanan anggota Perkhidmatan Awam Negeri yang bertambah akibat pelaksanaan cukai GST.
“Ia juga sebagai penghargaan ke atas kegigihan dan kesungguhan menjalankan amanah. Tanpa melaksanakan GST, Kerajaan Negeri mampu memberi bonus dan tidak jadi bankrap.
“Bayaran bonus pertengahan tahun sudahpun dibuat pada Jun lalu melibatkan perbelanjaan Kerajaan Negeri sebanyak RM5.22 juta,” katanya pada kenyataan media, hari ini.
Sejak 2008 hingga 2014, Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri memberi bonus sebulan gaji dengan minimum RM1,300 yang biasanya dibayar dua kali iaitu pada pertengahan dan akhir tahun semasa, melibatkan perbelanjaan RM47.42 juta.
“Jelas sekali, sepanjang tujuh tahun Kerajaan Negeri Pakatan Harapan memerintah Pulau Pinang, jauh lebih berkesan daripada 50 tahun sebelum ini,” katanya.

No comments: