Tuesday, December 29, 2015

KENAPA TIDAK CERDIK BOLEH JADI MENTERI?


Ketika berbual dengan kawan-kawan mengenai Ahmad Maslan yang didapati kerapkali mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal, pertanyaan seterusnya yang selalu kedengaran ialah bagaimanakah orang seperti beliau boleh menjadi seorang anggota pentadbiran kerajaan?

Sepanjang  menjadi timbalan menteri sejak 2009, beliau merupakan pemimpin UMNO yang paling banyak diperbualkan dan menjadi persendaan rakyat berikutan beberapa kenyataan yang dikeluarkannya.

Kalau ikut hukum akal atau sekiranya Najib Razak mengambil kira banyaknya rungutan, bukan saja di kalangan rakyat, bahkan di kalangan ahli UMNO sendiri, Ahmad Maslan sudah sepatutnya diketepikan daripada menganggotai kerajaan.

Terbaru dalam menggalakkan rakyat melakukan dua kerja untuk menangani peningkatan kos sara hidup, Ahmad Maslan jelas keliru dan tidak dapat membezakan antara kerja dengan jawatan apabila mengatakan beliau sendiri mempunyai tiga kerja dalam satu masa iaitu sebagai timbalan menteri, ahli parlimen dan ketua penerangan UMNO.

Sekali lagi timbul perbualan, bagaimana sebagai timbalan menteri tidak dapat membezakan antara kerja dengan jawatan?

Tidak saja rakyat biasa, malah seorang mufti juga turut tidak dapat menahan diri daripada mempertikaikan kecerdikan dan kemampuan berfikir Ahmad Maslan itu.

Secara umumnya, apabila menjadi pemimpin dalam kerajaan, harapan rakyat ialah mereka mestilah lebih cerdik atau sekurang-kurangnya kelihatan beberapa langkah ke hadapan dari segi pemikirannya berbanding rakyat biasa.

Dengan demikian, barulah kepimpinan mereka boleh diikuti atau dijadikan pedoman. Itulah nilai seorang pemimpin di mata rakyat.

Tetapi berbeza dengan Ahmad Maslan, beliau seringkali saja mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan, tidak masuk akal, malah tidak menunjukkan berbezanya diri beliau itu sebagai pemimpin.

Dengan beberapa lagi pemimpin mempunyai watak seperti Ahmad Maslan dalam kerajaan seperti pernah menyarankan jangan makan ayam jika mahal, tanam sayur sendiri kerana harganya kian mahal, bertolak lebih awal untuk mengelak tol dan sebagainya, ia secara tidak langsung memburukkan lagi imej kerajaan di mata rakyat.

Mengapa di zaman Najib ini begitu banyak pertikaian mengenai kualiti menteri dan timbalan menteri yang dilantiknya, sedangkan ia tidak pernah berbangkit sebelum ini?

Kenapakah orang seperti Ahmad Maslan lebih senang mendapat kedudukan dalam kerajaan berbanding ramai Ahli Parlimen lain yang jauh jauh lebih baik, lebih cerdik dan diyakini?

Mengapa sesetengah Ahli Parlimen yang baik dan cerdik pula, hanya sesudah beberapa penggal menjadi wakil rakyat barulah dilantik menganggotai kerajaan, berbeza dengan Ahmad Maslan yang mula bertanding di Pontian pada pilihanraya 2008, tetapi terus dilantik sebagai timbalan menteri pada 2009 apabila Najib menjadi Perdana Menteri?

Jawapannya tidak lain ada pada Najib sendiri. Beliau bukannya melantik menteri dan timbalan menteri untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat dan negara, tetapi semata-mata untuk dirinya.

Sebab itu, beliau memilih mereka yang setia, suka mengampu, membodek dan hanya sedia memujinya saja.  Faktor kemampuan dan keupayaan memikul tanggungjawab, kecerdikan berfikir atau memberi khdmat kepada rakyat, tidak lagi menjadi faktor paling utama.

Ada menteri yang diketahui umum dilantik semata-mata kerana kuat mengampu dan mengepung sehingga Najib tidak mampu berbuat apa-apa selain daripada memberinya ganjaran jawatan.

Pemimpin yang baik dan mempunyai keupayaan berfikir dengan cemelang barangkali hanya boleh dibilang dengan jari dalam pentadbiran kerajaan di era Najib ini. 

Selain itu, Najib juga barangkali enggan melantik semua yang cerdik dan pandai dalam kerajaan pimpinannya kerana tidak mahu dirinya sendiri tenggelam. Hanya apabila di kelilingi oleh mereka yang tidak berapa cerdik, sering mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal dan menjadi bahan persendaan rakyat saja barulah Najib kelihatan sedikit lebih baik dan menonjol.

Dalam ertikata lain, disebabkan tidak cerdik itulah mereka diberikan jawatan serta kedudukan dan menjadi  tidak cerdik di zaman Najib ini nampaknya mendatangkan nasib lebih baik berbanding mereka yang pandai dan berkualiti. (SH 29/12/2015).
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers