Tuesday, December 15, 2015

Jangan ajar mahasiswa benci agama lain untuk cintai Islam


Dyana_ww
KUALA LUMPUR 15 DIS: Ahli Jawatankuasa DAP Perak, Dyana Sofya Mohd Daud menggesa tindakan diambil terhadap Universiti Teknologi Mara (UiTM) kerana menganjurkan seminar yang berbaur provokasi terhadap agama lain.
Merujuk seminar bertajuk “Ancaman Gerakan Permurtadan Kristianisasi” pada Sabtu lalu di UiTM Lendu, Melaka, beliau mempersoal niat penganjur yang mengajak mahasiswa beragama Islam memantapkan akidah dengan cara membenci agama lain.
“Saya tertanya-tanya dengan logik UiTM dalam perkara ini. Adakah cara untuk menguatkan akidah umat Islam adalah dengan memburuk-burukkan agama lain?” katanya pada kenyataan media hari ini.
Sebelum ini, UiTM menganjurkan program seakan-akan sama pada 6 Mei di cawangannya di Shah Alam tetapi tiada tindakan diambil.
“Mengapa tiada apa-apa tindakan diambil ke atas mereka yang menganjurkan seminar berbaur provokasi keagamaan pada tahun lepas dan pada kali ini?”
“Ini menunjukkan UiTM membenarkan aktiviti provokasi keagamaan yang tidak sihat dan mahu menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama,” katanya.
Menyifatkan seminar itu tidak masuk akal, beliau juga mempersoalkan jika seminar sama dianjurkan dengan provokasi dihala terhadap Islam yang tentu penganutnya berasa tersinggung.
“Bayangkan aktiviti sama dilakukan bertajuk anti-Islam di institusi pengajian tinggi? Saya percaya umat Islam akan tersinggung dan secara langsung akan menimbulkan kemarahan,” katanya.
Menyifatkan Islam sebagai agama harmoni dan tidak perlu memburuk-burukan agama lain untuk menyatakan keindahannya, Dyana mencadangkan supaya program pemahaman antara agama lebih sesuai dalam menyelami kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.
“Kita patut mencontohi usaha Interfaith Network of the City of Greater Dandenong di Australia yang mengadakan aktiviti mengalakkan pemahaman, hormat-menghormati, penerimaan dan toleransi antara satu sama lain,” katanya.
Justeru, beliau mengulangi gesaan supaya program berunsur provokasi di institusi pengajian tinggi dipantau supaya kehormonian rakyat terjamin daripada pertelagahan yang akan memecahbelahkan perpaduan rakyat.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers