Isu perkauman helah Najib tutup skandal politik


KUALA LUMPUR 13 DIS: Pakatan Harapan mengutuk sekeras-kerasnya ucapan Datuk Seri Najib Razak di Perhimpunan Agung Umno semalam kerana cuba memainkan api perkauman untuk mengalihkan perhatian dari skandal politik yang beliau hadapi.
Antara lain, Presiden Umno itu dilapor menggambarkan sekiranya Umno kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14), negara ini akan ditadbir Pakatan Harapan yang menentang perjuangan Islam, Melayu dan Bumiputra.
IMG_9046Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, kenyataan Najib itu tidaklah mengejutkan kerana setiap kali Umno berhadapan krisis, parti itu akan menggunakan helah menakut-nakutkan rakyat dengan isu perkauman dan penjajahan asing.
“Skandal politik yang sedang menekan Datuk Seri Najib tidak ada kena mengena dengan perjuangan Islam, Melayu dan Bumiputra. Krisis yang melanda Umno sekarang sehingga lunturnya sokongan rakyat kepada parti itu berpunca dari skandal kewangan 1MDB dan dana RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi beliau yang masih belum dijawab sehingga hari ini.
“Helah beliau yang cuba memainkan api perkauman bagi menutup skandal peribadi adalah terkutuk dan merendahkan lagi kedudukan beliau di mata rakyat. Malah, pentadbiran beliau jugalah yang merangka undang-undang Majlis Keselamatan Negara 2015 yang diluluskan baru-baru ini yang dilihat mencabar kuasa Yang Dipertuan Agong bila mana pengumuman yang membolehkan kuasa darurat dilaksanakan kini boleh dibuat oleh Perdana Menteri; bukan lagi terhad kepada pengisytiharan Agong,” kata Wan Azizah dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Majlis Presiden Pakatan Harapan menegaskan, ketiga-tiga parti – KEADILAN, DAP dan Amanah menjunjung sepenuhnya peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan termasuklah berkaitan perkara-perkara penting berhubung kedudukan Bumiputra, agama Islam, institusi Raja-raja Melayu dan bahasa Melayu.
Menurut mereka, muafakat ini telah pun ditandatangani bersama di dalam Buku Jingga dan dipiagamkan antaranya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain serta mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan;
“Selain itu, memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat global,” jelas Wan Azizah lagi.
Justeru, Pakatan Harapan menyeru rakyat terutama kaum Melayu tidak terperangkap dengan permainan perkauman.
“Kami akan terus menumpukan kepada isu-isu penting rakyat seperti kos sara hidup yang meruncing, sistem percukaian yang tidak adil, peluang pekerjaan untuk golongan muda dan menekankan tata kelola bagi membanteras rasuah yang berleluasa,” kata mereka.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=68499

No comments: