1MDB: Pengakuan Muhyiddin bukti kesahihan dakwaan pembangkang


1mdb
PULAU PINANG 8 DIS: Pengakuan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membuktikan pembangkang bukan membuat fitnah.
Merujuk ucapan Muhyiddin di Kampung Baru malam tadi berhubung skandal itu, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang menyifatkan kenyataan itu sebagai perakuan kukuh betapa pembangkang tidak menyebar fitnah.
Justeru, beliau berkata, kenyataan Timbalan Presiden UMNO itu membersihkan nama pembangkang yang sebelum dituduh Najib sebagai penyebar fitnah terhadap skandal 1MDB melalui media tempatan kawalannya.
“Ucapan Muhyiddin di Kuala Lumpur semalam mematahkan tuduhan Najib bahawa pembangkang hanya menabur fitnah mengenai skandal berkenaan,” katanya pada ceramah “Solidrati bersama Lim Kit Siang dan Mana RM2.6 billion” di Batu Uban di sini, semalam.
Sebelum ini, Najib terpalit dengan pelbagai skandal termasuk penyelewengan dana 1MDB dan derma RM2.6 bilion hingga isu itu mendapat perhatian pada peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri itu juga tidak hadir ke sidang Parlimen bagi menjawab isu berkenaan sebaliknya menugaskan Datuk Seri Zahid Hamidi membuat kenyataan tiga minit.
Dalam pada itu, Kit Siang menyuarakan sokongan padu terhadap cadangan Muhyiddin supaya Najib berundur bagi membenarkan siasatan dilakukan tanpa sebarang campur tangan.
Selaras dengan desakan pembangkang, katanya, Muhyiddin mencadangkan Najib mengambil cuti sebagai Perdana Menteri berikutan penangguhan siasatan terhadap 1MDB bagi memastikan Najib tidak campur tangan.
“Muhyiddin juga bersetuju dengan pembangkang bahawa jika Najib tidak terlibat, beliau boleh meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri semula,” katanya.
Kit Siang juga bersetuju dengan persoalan yang dibawa Muhyuiddin berkaitan kenyataan tiga minit Zahid hingga mengundang kemarahan pelbagai pihak sama ada pembangkang mahupun penyokong kerajaan.
“Muhyiddin bertanya soalan tepat: Mengapa tidak Perdana Menteri sendiri menjelaskan skandal terbabit, mengapa timbalannya pula yang berbuat demikian?” katanya.

No comments: