Sidang minggu akhir Parlimen jadi tumpuan


MKINI

Pengundian akhir - bacaan ketiga Bajet
Najib terselamat dalam pusingan pertama pengundian di peringkat dasar, dengan majoriti 54 undi. Beliau mendapat 128 'menyokong', berbanding 74 'menolak' dari pembangkang.
Pembangkang masih mempunyai peluang terakhir pada 1 Disember ini, dengan bacaan ketiga Rang Undang-Undang Perbekalan itu.
Soalan mengenai RM2.6 bilion
Skandal yang melibatkan RM2.6 bilion "derma politik" dalam akaun bank Najib telah menjadi tajuk berterusan sepanjang sidang Dewan - dari mengangkat plakad hingga ke sesi soal jawab.
Tetapi kerajaan berkata ia akan menjawab semua pertanyaan mengenainya pada 3 Disember - hari terakhir sidang Dewan.
Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Parlimen, Datuk Seri Azalina Othman (gambar) berkata, isu itu akan dijawab melalui sesi soal jawab.
Bagaimanapun, sesi soal jawab hanya membolehkan maksimum dua soalan tambahan.
Mengikut konvensyen, pembangkang akan mempunyai peluang pertama bertanya soalan tambahan, diikuti penyokong kerajaan, selepas jawapan menteri.
Memandang Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia sangat ketat dalam membenarkan soalan tambahan, biasanya selepas dua soalan, maka ahli Parlimen perlu memanfaat sepenuhnya peluang untuk bertanya.
Azalina juga enggan mengesahkan sama ada Najib sendiri yang akan menjawab soalan. Ini juga bermakna isu panas itu mungkin dijawab oleh Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga menteri dalam negeri.
Nurul Izzah mengadap Jawatankuasa Hak dan Kebebasan
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menjadi sasaran dengan label 'pengkhianatan' selepas Puteri Sulu Jacel Kiram memuat naik gambar mereka bersama.
Pemimpin BN mendakwa naib presiden PKR itu "tidak sensitif" apabila mengadakan pertemuan dengan anak perempuan dalang pencerobohan Lahad Datu pada 2013.
Walaupun Nurul membuat permohonan maaf secara terbuka, Azalina membentangkan usul untuk merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Nurul dilarang masuk ke Sabah selepas usul mengenainya diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN), dan beliau kini mungkin berdepan dengan kesan lain, termasuk penggantungan menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Laporan persempadanan semula Sarawak
Dengan pilihan raya negeri Sarawak semakin hampir, Najib akan membentangkan laporan persempadanan semula kerusi DUN negeri itu, seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.
Laporan itu akan mewujudkan tambahan 11 kerusi, menjadikan jumlahnya meningkat daripada 71 kepada 82 kerusi.
Bagaimanapun, pihak pembangkang telah membantah persempadanan semula itu kerana kebanyakan kerusi tambahan itu adalah dari kubu kuat BN.
Mereka berhujah bahawa langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu hanya akan mengukuhkan pemerintahan BN di negeri itu.
PKR telah memfailkan semakan kehakiman di mahkamah terhadap persempadanan semula, tetapi Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa ianya sah.
Walaupun perbahasan bajet dan pengundian dijangka selesai pada 1 Disember, namun Dewan mempunyai hanya dua hari untuk membahaskan timbulan usul dan rang undang-undang dalam kertas perintah tetap.

No comments: