Tuesday, November 24, 2015

MUHYIDDIN DISINGKIRKAN, NAJIB UNTUNG ATAU ZAHID MUDAH JADI "CENCARU MAKAN PETANG"?


Pemecatan atau penggantungan Muhyiddin Yassin yang tujuan utamanya untuk menghalang Timbalan Presiden UMNO itu berperanan dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 8 - 12 Disember ini barangkali sudah terlalu sukar untuk dielakkan. 370x277 www.selliyal.com

Berdasarkan kepada "bau yang semakin kuat dapat dihidu", Najib sebenarnya tidak mahu lagi Muhyiddin terus diberikan ruang atas platform UMNO untuk terus mengkritiknya dan kerajaan, khususnya berkaitan 1MDB dan wang derma yang semakin menghenyak imejnya di mata umum.

Mengawalkan tarikh mesyuarat MT dan mengadakannya di pula Parlimen yang ketat kawasan keselamatannya, matlamat besarnya tidak lain ialah agar sebarang tindakan terhadap Muhyiddin dapat diminimakan kesan protesnya.

Lebih-lebih lagi, bersekali dengan Muhyiddin yang digelar anggota Kumpulan Tujuh yang bakal diambil tindakan,  bertebaran juga "baunya" bahawa Tun Mahathir Mohamad dan Shafie Apdal juga akan turut dikenakan tindakan yang sama.

Maklumat yang diperolehi malam tadi turut mengatakan bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, Hamidah Osman akan turut dikenakan tindakan kerana kritikan dan serangannya sejak sekian lama terhadap kepimpinan Najib.

Dalam jangka pendek, tindakan terhadap Muhyiddin tidak lain ialah untuk menghalangnya daripada merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri serta berucap di majlis penggulungan di hari terakhir itu.

Begitu juga dengan Shafie, Najib turut tidak mahu bekas menteri itu turut berucap dalam majlis penggulungan kerana bimbang timbulnya kritikan yang tidak digemarinya.

Dengan ketiadaan Muhyiddin dan Shafie dalam Perhimpunan Agung UMNO nanti, Najib beranggapan selamatlah beliau daripada sebarang kritikan dan serangan yang boleh menyebabkan mukanya bertukar menjadi kemerah-merahan seperti udang kena baru keluar dari ketuhar.

Malah, tidak mustahil perhimpunan kali ini sudah siap mahu diorkestrakan dengan segala macam ucapan pujian dan sanjungan yang kemudian melalui media arus perdana akan digambarkan seolah-olah Najib mendapat sokongan berterusan untuk menerajui negara ini.

Sekali imbas, tidak dinafikan memang Najib nampaknya lebih selamat melalui penyingkiran Muhyiddin berserta Shafie itu. Ini kerana Najib bukanlah pemimpin yang berani berdepan dan petah berhujah dengan musuh-musuhnya.

Beliau adalah elitis bangsawan yang hanya suka dipuji, dipuja dan dicium tangannya. Kalau bercakap pun, kegemarannya ialah sehala saja. Kebelakangan ini, Najib juga tidak mengadakan lagi sidang akhbar terbuka sebagaimana biasa di mana beliau boleh ditanya di mana dan apa saja.

Lihat bagaimana beliau melarikan diri daripada program Nothing2Hide tidak lama dulu semata-mata kerana takut untuk berhadapan dengan Tun Mahathir yang turut hadir untuk bertanyakan soalan kepadanya.

Oleh kerana Tun Mahathir bukan lagi berada dalam hireaki kepimpinan dan beliau mungkin boleh mengelak daripada bertembungnya dengannya, kini musuh utama yang mahu diketepikannya ialah orang nombor duanya sendiri.

Najib barangkali tidak bimbang berdepan dengan Muhyiddin dalam pemilihan, tetapi ketakutannya ialah untuk berhadapan dengan kebenaran. Sebab itu, menyingkirkan Muhyiddin ialah untuk mengelak bekas Timbalan Perdana Menteri itu melontarkan soalan dan memberi ucapan untuk bertanyakan memgenai kebenaran kepadanya.

Tetapi jika Najib fikir hanya dirinya saja yang untung di sebalik tindakan terhadap Muhyiddin, beliau harus berfikir lebih daripada sekali mengenainya. 

Untungnya Najib jika Muhyiddin disingkirkan hanyalah kerana dapat mengelakkan sebarang kritikan dan serangan dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini dan menukarnya sebagai medan puji dan puja terhadaapnya.

Namun, kesan selepas itu mungkin lebih besar lagi. Selepas dipecat atau digantung, Muhyiddin pasti tidak akan duduk diam merintih nasib atau lebih banyak berada di atas tikar sembahyang saja. Muhyiddin pasti akan pergi ke seluruh pelusuk negara untuk bertemu akar umbi menjelaskan mengenai pemecatannya.

Program jelajah ke seluruh negara itu pasti lebih meriah lagi jika Tun Mahathir dan Shafie yang mungkin dipecat atau digantung sama, ikut berbuat perkara yang sama.

Berdasarkan beberapa perkembangan sehari dua ini di mana semakin ramai Ketua UMNO Cawangan berani tampil mendesak pengunduran Najib, tentu saja boleh dibayangkan kedudukan Najib dan UMNO akan semakin getir jadinya jika pemecatan Muhyiddin sebagai pemimpin nombor dua diteruskan juga.

Hakikatnya, untung yang akan diraih Najib tidaklah seberapa  berbanding kerugian yang mungkin datang bertimpa-timpa. 

Tetapi melalui pemecatan Muhyiddin, siapa yang lebih besar untungnya?

Sudah tentu Zahid Hamidi. Beliau bukan saja akan diberi peluang merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri  pada 8 Disember ini, bahkan hireakinya dalam parti akan dilonjakkan dengan diberi tanggungjawab menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO yang secara automatik menjadikannya orang nombor dalam parti.

Apabila tekanan di luar UMNO melalui gerakan Tun Mahathir, Muhyiddin, Shafie dan mereka yang dipecat itu beriringan dengan semakin ramai Ketua-Ketua UMNO cawangan yang berani  tampil mahukan Najib berundur, natijahnya tidak lain ialah UMNO semakin lemah dan harapan menang pilihanraya tertutup sama sekali.

Dalam keadaan seperti itu, apakah Zahid akan terus mempertahankan Najib? Kalau mahu dipertahankan pun, mampukah beliau melakukannya?

Apakah tidak mungkin nanti Zahid melalui gerakan dalaman akan turut sama mendesak pengunduran Najib atas alasan untuk menyelamatkan UMNO dalam pilihanraya?

Jika dilihat ketika itu, dua pemimpin yang ada pengaruh dalam UMNO iaitu Hishammuddin dan Khairy Jamaluddin lebih banyak berdiam diri daripada mempertahankan Najib. Kalau ada pun mereka bersuara, nadanya lebih menampakkan keinginan mempertahankan UMNO berbanding pemimpin.

Tidak mustahilkah, setelah Muhyiddin disingkirkan, Zahid akan menjadi "cencaru makan petang" bersama Hishammuddin, Khairy Jamaluddin yang kemudian berpusu-pusu pemimpin bahagian lain turut menyokongnya? (SH 24/11/2015)
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers