Usai Rundingan TPPA – Masa Bertindak – Pastikan Janji PM Dato Sri Najib Razak Untuk Pertahan Kepentingan Negara Dikotakan



Usai Rundingan TPPA – Masa Bertindak – Pastikan Janji PM Dato Sri Najib Razak Untuk Pertahan Kepentingan Negara Dikotakan
Kira-kira jam 9:00 pagi waktu Atlanta semalam, 12 negara yang menyertai rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) telah mengumumkan pengakhiran kepada rundingan perjanjian yang digelar ‘terbesar dalam sejarah, sesuai dengan abad ke 21’.
Rundingan perjanjian tersebut telah dimuktamadkan walau tanpa ketiadaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Malaysia sekadar diwakili Ketua Perunding, Encik Jayasiri.
Sewajibnya Menteri MITI Datuk Seri Mustapa Muhamad hadir hingga akhir pengumuman – cara sambil lewa menangani perjanjian sebesar TPPA menimbulkan keraguan besar berkenaan tatakelola MITI dan kerajaan dalam mempertahan kepentingan Malaysia dalam rundingan.
Perlu diingat jua janji Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Najib Razak pada Sidang Kemuncak APEC pada Oktober 2013 – bahawa TPPA akan dibentangkan di Parlimen.
Janji MITI di dalam Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan menjamin kepentingan negara dan rakyat tidak akan digadaikan oleh perjanjian TPPA wajib dituntut.
Perjanjian TPP sudah tentu akan merangkumi pelbagai aspek – tidak terhad kepada perdagangan sahaja. Meminjam terma abad ke 21 – sudah tentu perjanjian semoden ini wajib dirundingkan secara telus, di mana semua pihak berkepentingan diberikan akses kepada teks rasminya. Perjanjian yang dikatakan ala abad ke 21 juga perlu membudayakan keterbukaan sejajar dengan budaya abad terkini – bukan diselubungi kerahsiaan seperti perjalanan rundingan TPPA selama ini.
Sepanjang dua tahun lamanya, rakan-rakan ahli parlimen dan saya sendiri mengikuti perkembangan serta memberikan maklumbalas yang penting dalam mendepani risiko perjanjian TPPA sekiranya tidak mempertahan kedudukan serta kepentingan Malaysia.
Pada 25 September 2013, saya telah mendesak kerajaan untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Terpilih TPPA melalui soalan parlimen saya. Kerajaan kemudiannya menubuhkan Kokus TPPA yang turut melibatkan saya sendiri.*
Walau diakui wujudnya pertemuan dari masa ke semasa dengan Menteri MITI dan juga wakil perdagangan Amerika Syarikat, Michael Froman, seluruh ahli pembangang kokus TPPA tidak diberi akses kepada kandungan dan terma perjanjian. Hal ini berlainan di AS – di mana wakil Kongres mereka diberi layanan lumayan termasuk peluang membaca teks TPPA.
Bagaimanakah kita mampu menerima janji kebolehpercayaan kerajaan sedang prestasi corot selama ini?
Menurut peraturan “Fast Track” AS, teks penuh TPPA akan diterbitkan 30 hari selepas perjanjian itu dipersetujui. Presiden Obama akan memberikan 90 hari kepada Kongress untuk membahaskan butiran-butiran perjanjian tersebut sebelum menandatanganinya. Rundingan telahpun tamat dan tidak ada sebuah negara pun yang mampu merubah kandungan kepada teks perjanjian tersebut.
Saya seru semua pihak berkepentingan; badan-badan bukan kerajaan, Ahli-ahli parlimen, badan-badan persatuan sekerja dan orang ramai untuk bersiap siaga meneliti kandungan dengan hasrat memastikan kepentingan negara diutamakan. Kita juga harus berani menolak sekiranya kandungan teks menunjukkan sebaliknya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak perlu dipertanggungjawabkan untuk memenuhi segala janji beliau berkait TPPA.
Teks bukan sahaja mesti didedahkan; tetapi setiap ahli parlimen wajib diberikan masa yang secukupnya untuk meneliti kandungan perjanjian tersebut – yang dikhabarkan mencecah hampir 1,000 muka surat.
Sekiranya kongres Amerika Syarikat diberikan 90 hari untuk membahaskan perjanjian ini, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam usaha memperkasakan kedaulatan negara menerusi demokrasi berparlimen. Lebih-lebih lagi apabila nasib negara terikat dengan perjanjian yang melibatkan 12 negara dan penguatkuasaan undang-undang yang merangkumi semua bidang bukan sahaja perdagangan.
Malaysia mestilah mendapat manfaat daripada perjanjian ini. Rakyat harus dilindungi daripada terkesan daripada penguatkuasaan perjanjian ini.
Isu-isu yang timbul seperti kenaikan harga ubat-ubatan, perlindungan yang ketat ke atas harta intelek; status Syarikat Berkait Kerajaan Malaysia (Khazanah, Petronas dan TNB sebagai contoh); isu mekanisma perundangan baru ISDS yang mengutamakan golongan korporat – serta kesannya ke atas badan kehakiman negara; dan juga nasib IKS antara lainnya wajib dipantau dengan efektif.
Perjuangan untuk memastikan TPPA dimeterai bersyarat kepentingan serta kedaulatan negara dipertahan akan diteruskan. Kami terus berjuang hingga ke saat yang terakhir.
NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN
AHLI KAUKUS TPPA 

No comments: