Undi tak percaya atas Najib: Pas tarik ‘hand brake’

OLEH: AMIRUDDIN AHMAD

Kenyataan Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hasan baru-baru ini bahawa parti Islam itu mungkin bekerjasama dengan Pakatan Harapan melaksanakan usul undi tak percaya ke atas PM Najib sekiranya dipelawa Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail mengejutkan pemerhati politik.

Sebelum ini, Pas melalui Presiden Hadi, Mursyidul Am Dr Haron Din dan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Dr Mahfodz Mohamed membayangkan parti itu telah ‘berpatah arang, berkerat rotan’ dengan Pakatan Harapan. Mereka rela menjadi ‘penyokong BN’ berbanding menyokong PH dan bekerjasama dengan DAP atau Amanah.

Ternyata perjuangan bersendirian ‘siku dan lutut’ yang berdegar-degar diucapkan oleh bekas Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Tantawi pada Jun lalu tak ke mana. Belum 6 bulan Pas sudah pun menarik hand brake.

Tidak percaya Najib kumpul wang
Meski pun PM Najib melawat Haron Din di hospital sebulan lalu namun itu tidak cukup untuk memujuk hati pemimpin tahap 2, 3 dan 4 dalam Pas menerima politik Najib. Pemimpin tahap 1 seperti Hadi dan Haron mungkin kekal menyokong Najib kerana mereka tidak pernah mengecam PM dalam isu skandal pengumpulan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi ketua kerajaan itu.

Haron pernah mengeluarkan pendapat tidak percaya Najib mengumpulkan RM2.6 bilion  dalam akaun persendirian. Hadi pula berkata untuk menuduh Najib melakukannya perlukan saksi yang adil sebagaimana menuduh  Anwar melakukan liwat memerlukan empat saksi.

Apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan Najib memiliki wang ‘derma’ RM2.6 bilion hanya Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man – pemimpin tahap 2 – yang mengecam Najib. Adakah Haron dan Hadi masih kekal dengan kenyataan mereka sebelumnya?

Mungkin bagi pemimpin Pas tahap 1, mereka melihat Najib amat perlukan parti Islam itu demi survival politik Umno. Maka Pas akan sangat berguna menjelang usul undi tak percaya yang diura-ura akan dilaksanakan pembangkang bersama beberapa MP BN pada sesi Parlimen Oktober.

Pas mungkin akan menawarkan khidmat 16 ahli parlimennya yang berbaki untuk mengekalkan Najib di kerusi PM. Banyak perkara boleh dituntut dari PM sekiranya pertolongan itu diberi.

Najib berpaut pada Yahudi
Malangnya, belum pun sesi Oktober bermula Najib telah menunjukkan beliau tidak memerlukan Pas dan doa para ulama bagi mempertahankan pemerintahan. Awal Oktober, Najib telah berucap di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan nada lunak terhadap Israel. Menganggap Israel sebagai ‘teman bicara sah’. Beliau mengutip pula ‘Aturan Emas’ dalam kitab Torah (Taurat) Yahudi sebagai sebahagian ucapan.

Tidak cukup dengan itu, Najib bersalaman dan beramah mesra bersama PM Israel Benjamin Netanyahu di bangunan PBB ketika mana tentera rejim Zionis merempuh Masjid al Aqsa di Palestin dan membunuh rakyat Palestin yang mempertahankan kesucian masjid itu.

Dua hari kemudian, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed bersetuju dengan butir-butir rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA). Persetujuan itu memberi gambaran jelas Malaysia akan mengikut telunjuk Amerika Syarikat dalam urusan perdagangan, meski pun terpaksa melupakan agenda bumiputera yang di dalam negara sanggup dipertahankan dengan darah dan nyawa menghadapi DAP.

Jelaslah Pas tidak boleh bergantung sama sekali dengan pengamal sekularisme-pragmatik. Dalam tempoh 6 bulan sahaja setiap apa yang diperingatkan oleh dua bekas pemimpin agung Pas Nik Aziz Nik Mat dan Fadzil Noor menjadi kenyataan.

Kedua-dua mereka melarang sama sekali Pas berkawan dengan Umno BN kerana dasar pragmatik menjual negara dan maruah rakyat perikatan politik itu. Nik Aziz paling keras menentang Umno kerana pengkhianatan parti itu terhadap Pas di Kelantan pada era 1970an lalu.

Pas terima balasan
Tiga bulan selepas kematian Nik Aziz ulama Pas membuang saudara mereka dalam kalangan profesional yang menentang Umno dan rapat dengan Pakatan Rakyat. Pas tiba-tiba menganggap Pakatan sebagai musuh yang lebih merbahaya berbanding BN.

Sekarang Pas menerima balasan. Sukar untuk menerangkan kepada ahli akan kerjasama mereka dengan BN bagi merealisasikan Hudud di Kelantan. Dua kali persidangan parlimen, Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia tidak membenarkan pindaan Akta 335 (mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah 1965) ke arah perlaksanaan hudud didahulukan.

Umno hanya berjanji akan menyokong Hudud tanpa tarikh pasti. Pas menerajang DAP dan menghancurkan Pakatan hanya untuk mendapatkan kelulusan Hudud. Kini, Adakah berbaloi sokongan kepada Umno dengan tergadainya maruah Islam dan negara?

Adakah berbaloi Pas mengekalkan sokongan kepada Najib yang berbaik-baik dengan Yahudi Israel? Adakah berbaloi menyokong BN yang merelakan ekonomi Malaysia dijajah Amerika? Ternyata Pas telah tersalah langkah dan masuk perangkap.

Pemimpin tahap 2 bertindak
Membayangkan menyokong undi tak percaya oleh pemimpin tahap 2 seperti Takiyudin boleh dibaca sebagai tindak balas kepada pimpinan atasan Pas yang masih mengelak mengecam Najib. Sekiranya Pas menerima cadangan undi tak percaya dan melaksanakannya maka kerjasama dengan BN demi meluluskan Hudud akan berakhir.

Bermakna pada sesi Oktober dan selama-lamanya Hudud tidak akan disokong oleh BN, sama ada Najib masih berkuasa atau pun tidak. Jika bukan Najib yang berkuasa maka Umno tidak lagi terikat dengan agenda Hudud yang dipersetujui antara Najib dan pemimpin Pas.

Selepas ini apakah yang perlu ditentang oleh Pas? Jika mereka menolak Najib maka tidak ada beza perjuangan Pas pada Oktober 2015 berbanding perjuangan pada Oktober 2012. Iaitu menentang penyelewengan dan Hudud masih jauh daripada dilaksanakan. Ketika itu Pas sedia bekerjasama dengan DAP dan PKR.

Maka tidak perlulah Pas bertegas untuk bersendirian kerana perjuangan mereka juga sama dengan Pakatan Harapan.

Gantikan pemimpin muda, progresif

Kesediaan mengundi tak percaya juga memberi impak besar kepada kepimpinan ulama. Mereka memperlihatkan kepada ahli Pas bahawa strategi mereka salah. Ulama telah menyokong orang yang mempermainkan agama dan kemudian bersetuju untuk terpaksa menjatuhkannya.

Ungkapan ulama sentiasa betul dan cermat jalan fikir ketika mempengaruhi perwakilan Pas bagi menyingkirkan golongan 'profesional pada Muktamar ke 61 lalu ternyata keliru. Ternyata ulama silap menyokong Najib yang menjadi barua Yahudi dan Amerika.

Ulama yang sama juga  menyebabkan Pas berpecah dua dan menyaksikan parti yang mempunyai masa depan dan hanya memerlukan tambahan 5 peratus undi bersama Pakatan Rakyat untuk menakluk Putrajaya kini kembali ke era 1980an, berkecamuk dan tiada harapan.

Bagi ahli Pas, peristiwa yang melanda dalam 6 bulan kebelakangan ini sepatutnya menyedarkan mereka. Pas pernah melalui zaman sama ketika era Presiden Asri Muda menyokong BN. Pemimpin muda Pas ketika itu menjatuhkan Asri dan memulakan era kepimpinan ulama.

Kini, pimpinan ulama sedia ada hilang arah tuju. Tibalah masanya ulama tahap 1 ini direhatkan demi masa depan parti. Tiada salah dengan kepimpinan ulama. Tetapi biarlah berstrategi dan nampak cerdik.

Jika Hadi, Haron, Mahfoz dan Nik Amar direhatkan mereka boleh diganti dengan barisan muda seperti Tuan Ibrahim, ustaz Idris Ahmad dan sebagainya yang lebih jelas kebijaksanaan strategi politik mereka berbanding pemimpin veteran Pas hari ini.

No comments: